Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angkasawan Jepun bakal jejak kaki ke bulan

    WASHINGTON, 12 APRIL – Seorang angkasawan Jepun yang bertuah akan menjadi orang bukan Amerika pertama yang menjejakkan kaki di bulan semasa salah satu misi Artemis NASA akan datang, umum Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, Rabu lalu.

    Tawaran kepada Jepun – satu peluang yang telah lama diimpikan oleh kebanyakan negara – datang sebagai sebahagian daripada lawatan negara Perdana Menteri, Fumio Kishida, dan ketika Washington berusaha untuk mengukuhkan hubungan dengan sekutu utamanya di Asia.

    “Dua angkasawan Jepun akan menyertai misi Amerika pada masa hadapan, dan seorang akan menjadi orang bukan Amerika pertama yang pernah mendarat di bulan,” kata Biden dalam sidang akhbar bersama Kishida.’

    Kishida mengalu-alukan pengumuman itu sebagai ‘pencapaian besar’ dan mengumumkan Jepun akan membalasnya dengan membekalkan rover untuk program itu.

    Program Artemis NASA bertujuan untuk mengembalikan manusia ke bulan buat kali pertama dalam lebih 50 tahun, dan mengekalkan kehadiran mampan di bulan sebelum misi berpotensi ke Marikh.

    Angkasawan Jepun, Akihiko Hoshide (kiri), dan angkasawan AS, Daniel Tani semasa Kishida berucap pada mesyuarat bersama Kongres di Capitol AS di Washington, DC, pada 11 April. – AFP

    Antara 1969 dan 1972, program Apollo AS telah menyaksikan 12 orang Amerika di mana kesemuanya terdiri daripada lelaki berkulit putih berjalan di Bulan.

    NASA sebelum ini mengumumkan program Artemis akan melihat wanita pertama dan orang pertama berkulit hitam mendarat di Bulan.

    “Amerika tidak akan berjalan di Bulan sendirian,” kata ketua NASA, Bill Nelson dalam video yang diterbitkan di media sosial.

    Misi pertama untuk membawa angkasawan ke permukaan Bulan, Artemis 3, dirancang untuk 2026. Sementara itu, China telah berkata ia berusaha untuk meletakkan manusia di Bulan menjelang 2030.

    Agensi angkasa lepas Jepun, JAXA ‘sangat gembira’ dengan pengumuman itu, beritahu seorang jurucakap kepada AFP. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda