Wednesday, November 13, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Annuar Musa digantung tugas Pengerusi Mara

    KUALA LUMPUR, 31 Jan – Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini menggantung tugas Tan Sri Annuar Musa sebagai pengerusi agensi itu dan pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkuat kuasa serta-merta.

    Keputusan sebulat suara itu dicapai dalam satu mesyuarat khas yang dipengerusikan Ahli Majlis MARA Datuk Dr Yusof Yacob di ibu pejabat agensi itu di sini.

    Yusof dalam sidang media selepas mesyuarat itu berkata penggantungan dibuat bagi membolehkan audit dalaman MARA menyiasat beberapa perkara mengenai agensi tersebut termasuk penajaan PMB dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

    “Kita tidak tahu berapa lama tempoh siasatan ini tapi kita harap ia dapat disegerakan supaya kita tahu kedudukan sebenarnya. Kita tak boleh cuma melihat apa yang dihebohkan.

    “Kita mahu kedua-dua jawatan ini digantung supaya siasatan bebas tanpa ada campur tangan atau pengaruh daripada Tan Sri (Annuar),” katanya. Beliau berkata dalam tempoh penggantungan tersebut, Annuar tidak boleh mengakses informasi dan mengeluarkan sebarang arahan yang melibatkan tugas sebagai pengerusi.

    Gambar fail Tan Sri Annuar Musa (kiri). Beliau hari ini digantung tugas sebagai Pengerusi MARA dan PMB bagi audit dalaman dan siasatan SPRM. – Bernama
    Gambar fail Tan Sri Annuar Musa (kiri). Beliau hari ini digantung tugas sebagai Pengerusi MARA dan PMB bagi audit dalaman dan siasatan SPRM. – Bernama

    Sepanjang tempoh penggantungan itu juga semua tugas Annuar dipangku Yusof selepas mendapat persetujuan Menteri Kemajuan Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Sementara itu Tan Sri Annuar Musa berkata beliau akur dengan keputusan penggantungannya sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) yang berkuat kuasa serta-merta hari ini. Annuar yang kini berada di New Zealand, berkata beliau tidak tahu menahu berkenaan mesyuarat khas Ahli Majlis MARA yang diadakan hari ini itu.

    “Saya tidak tahu mereka akan mengadakan mesyuarat dan saya belum pernah dipanggil dan ditanya tentang apa-apa isu secara rasmi (sebelum ini),” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini. Katanya beliau hanya dimaklumkan keputusan itu oleh Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad dan Dr Yusof selepas mesyuarat selesai.

    Annuar berada di New Zealand bagi urusan rasmi MARA antaranya menghadiri Mesyuarat Bersama Kolej Yayasan Saad dan Queenstown Recreational College (OTAGO University) dan dijangka pulang ke tanah air pada Khamis.

    Mengulas lanjut, Annuar berkata beliau sedia memberi kerjasama dalam siasatan yang akan diadakan.

    Annuar turut menegaskan beliau pernah meminta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Ibrahim untuk mengadakan audit dalaman selepas timbul pelbagai khabar angin mengenai isu itu.

    “Tuduhan dan kenyataan yang keluar itu macam-macam, jadi saya beritahu menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan ketua pengarah (MARA) supaya dibuat audit dalaman atas perkara-perkara yang berkaitan.

    “Tidak ada sesiapapun yang boleh mengatasi peraturan, bagi saya segala kerja mesti mengikut peraturan-peraturan yang ada, dan kalau ada tuduhan-tuduhan pihak berkenaan kena siasatlah,” katanya. Manakala lewat hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa terhadap Tan Sri Annuar Musa. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda