Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS arah NASA cipta piawaian masa lunar

    WASHINGTON, 3 APRIL – Rumah Putih mengumumkan kelmarin bahawa ia mengarahkan NASA untuk mencipta piawaian masa seragam untuk bulan dan cakerawala lain, setelah kerajaan dan syarikat swasta meningkat persaingan di angkasa.

    Dengan Amerika Syarikat (AS) berminat untuk menetapkan norma-norma antarabangsa melangkaui orbit Bumi, Pejabat Dasar Sains dan Teknologi (OSTP) Rumah Putih mengarahkan agensi angkasa AS itu untuk merumuskan rancangan menjelang akhir 2026 untuk piawaian yang dikenali sebagai Waktu Bulan Berkoordinat (LTC).

    “Memandangkan NASA, syarikat swasta dan agensi angkasa lepas di seluruh dunia melancarkan misi ke Bulan, Marikh dan lebih jauh lagi, adalah penting bagi kita mewujudkan piawaian masa angkasa demi keselamatan dan ketepatan,” kata Timbalan Pengarah OSTP untuk Keselamatan Negara, Steve Welby dalam satu kenyataan.

    Beliau menekankan bagaimana ‘masa berlalu dengan cara yang berbeza’ bergantung pada kedudukan di angkasa, sambil memberikan contoh bagaimana masa kelihatan bergerak dengan lebih perlahan di tempat di mana graviti lebih kuat, seperti berhampiran dengan cakerawala.

    “Takrifan masa yang konsisten dalam kalangan pengendali di angkasa adalah penting untuk kejayaan keupayaan kesedaran situasi angkasa, navigasi dan komunikasi,” kata Welby.

    Menurut Rumah Putih, matlamatnya adalah agar LTC dikaitkan dengan Waktu Universal Berkoordinat (UTC), yang pada masa ini merupakan piawaian masa utama yang digunakan di seluruh dunia untuk mengawal masa di Bumi. – AFP

    Bulan terbit di belakang menara jam Home Place di Prattville, Alaska pada 22 Jun 2013. Amerika Syarikat mengarahkan NASA untuk mencipta piawaian masa lunar. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda