Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS, Rusia bertukar banduan

    WASHINGTON, 9 DIS – Bintang bola keranjang Amerika Syarikat (AS), Brittney Griner, dibebaskan dari penjara Rusia semalam, sebagai pertukaran dengan pembebasan pedagang senjata Rusia, Viktor Bout.

    Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata pertukaran Bout, 55, yang terkenal sebagai gelaran ‘Saudagar Kematian’, dengan Griner, 32, dilakukan selepas rundingan yang penuh ketelitian dan tegang.

    Pertukaran Griner, yang ditangkap di Rusia pada Februari lalu atas tuduhan memiliki dadah dan Bout, yang menjalani hukuman penjara 25 tahun di AS, dilakukan di lapangan terbang di Abu Dhabi.

    Dalam rakaman yang dikeluarkan media Rusia, Griner, yang dicukur rambutnya dan Bout yang kelihatan santai, melintasi laluan di landasan lapangan terbang, menuju ke arah pesawat yang akan membawa mereka pulang ke negara masing-masing.

    Biden mengumumkan pembebasan Griner dalam ucapannya kepada rakyat di Rumah Putih, namun dikritik aktivis kemanusiaan kerana melepaskan Bout, yang juga pembekal senjata utama kepada kumpulan pengganas, pemberontak dan diktator di seluruh dunia serta mendalangi pelbagai konflik antarabangsa.

    Griner, pemenang dua kali pingat emas Olimpik, juara Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan Wanita (WNBA), ditahan di lapangan terbang Moscow sembilan bulan lalu, ketika ketegangan yang memuncak di Ukraine.

    Dia dituduh memiliki kartrij vape dengan kuantiti minyak ganja yang kecil dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun pada Ogos.

    Bout, yang dituduh membekalkan senjata kepada pemberontak dalam beberapa konflik paling berdarah di dunia, ditahan dalam operasi AS di Thailand pada 2008, diekstradisi ke AS dan dijatuhi hukuman penjara 25 tahun pada 2012. – AFP

    ATAS & BAWAH: Gambar fail menunjukkan Viktor Bout dan Brittney Griner dalam pertukaran banduan di antara AS dan Rusia. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda