Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atlet muda China buat penampilan sulung di Olimpik

    GUANGZHOU – Zheng Haohao telah mencipta sejarah sebelum penampilan sulungnya di Olimpik Paris.

    Pemain papan selaju berusia 11 tahun dari Huizhou, Wilayah Guangdong di selatan China, merupakan atlet termuda China yang akan bertanding di Sukan Olimpik.

    Dia berjaya mendapatkan tempat dalam acara papan selaju taman wanita semasa Siri Kelayakan Olimpik yang diadakan di Shanghai dan Budapest.

    “Saat itu terasa seperti mimpi menjadi kenyataan,” kata Zheng selepas mengesahkan tempatnya dalam Siri Kelayakan Olimpik Budapest.

    Kemampuan Zheng yang luar biasa terserlah sejak kecil lagi. Menurut ibunya, Wang Zhe, Zheng lebih suka permukaan yang tidak rata di mana dia boleh memanjat batu dan anak tangga.

    Zheng Haohao beraksi semasa peringkat awal taman papan selaju wanita di Siri Kelayakan Olimpik di Shanghai timur China pada 16 Mei lalu. – Xinhua
    Zheng Haohao telah mendapat tempat dalam acara taman papan selaju wanita untuk Sukan Olimpik 2024 di Paris. – ANN/China Daily
    Gambar Xinhua

    Walaupun mengambil bahagian dalam pelbagai program latihan kemahiran seperti muzik, catur, lukisan dan tarian, papan selaju menawan hatinya apabila dia dihadiahkan papan selaju pada hari lahirnya yang ketujuh.

    “Luncur roda pernah menjadi sukan kegemaran saya, tetapi sejak saya diperkenalkan kepada papan selaju, ia jatuh ke tempat kedua,” jelas Zheng.

    Pada mulanya berlatih di kelab yang diuruskan oleh Chen Wanqin, bapa kepada juara Sukan Asia, Chen Ye, Zheng jatuh dan mengalami kecederaan yang banyak semasa latihan. Walaupun menghadapi cabaran, dia terus berusaha. Bakatnya menarik perhatian ketua jurulatih pasukan wilayah Guangdong pada 2021.

    “Dia sangat muda tetapi sangat fokus pada papan selaju. Jika dia tidak dapat melakukan satu teknik, dia akan segera mengenal pasti masalah dan membetulkannya dengan
    cepat,” kata Wei Naizhang, bekas jurulatih Zheng.

    Kemajuan Zheng terus pesat. Pada usia sembilan tahun, dia mewakili Guangdong di Sukan Kebangsaan 2021, menduduki tempat ke-14 pada separuh akhir. Pada Ogos 2022, dia merangkul gelaran dalam acara papan selaju taman wanita di Sukan Wilayah Guangdong.

    Pada 2023, Zheng memulakan perjalanan papan selaju antarabangsanya, membuat penampilan sulung di luar negara di Argentina untuk Jelajah Papan Selaju Dunia.

    Walaupun berdepan jadual yang padat dan halangan logistik, Zheng berjaya tiba di Argentina tepat pada masanya untuk acara kelayakan Olimpik pertamanya.

    Semasa Siri Kelayakan Olimpik Budapest bulan lepas, perestasi Zheng penuh dengan turun naik. Dia cemerlang dalam pusingan pertama, mencatatkan 63.49 mata yang mengagumkan.

    Bagaimanapun, kesilapan pada pusingan kedua menyebabkan dia hanya mengumpul 43.84 mata. Untuk mendapatkan peluang ke kelayakan Olimpik, dia memerlukan kira-kira 67.34 mata pada pusingan akhir.

    Pada saat genting itu, Zheng mengambil risiko berani dengan melakukan dua aksi yang mencabar dalam rutin terakhirnya. Di bawah tekanan yang besar, dia memberikan persembahan yang luar biasa, memperoleh 72.6 mata yang luar biasa.

    Pemikiran positif Zheng menjadi aset terbesarnya. Semasa acara di Budapest, ketika pesaing lain cemas melakukan pemanasan, Zheng terpesona dengan video promosi di skrin besar selama dua minit.

    Wang Zhe merasakan kegelisahannya tetapi menahan diri daripada menunjukkannya kepada Zheng.

    Berdepan Sukan Olimpik Paris, Zheng berkata bahawa pertandingan Olimpik akan menjadi acara yang paling tidak memberi tekanan kepadanya.

    “Menyertai Sukan Olimpik bermakna lebih ramai orang akan mengenali saya. Saya mula bermain papan selaju hanya untuk mencari kawan baharu dan berseronok,” kata Zheng.

    Pada mulanya tertarik dengan sukan papan selaju kerana kegembiraan mencari kawan baharu, Zheng kini menghadapi cabaran untuk mengimbangi latihan dengan masa lapangnya.

    “Sukar apabila ibu saya memanggil saya untuk berlatih semasa saya sedang bermain. Saya akan berkata, ‘Ibu, mari ponteng latihan hari ini,'” dia menagakuinya dengan jujur.

    “Tetapi kemudian saya memilih untuk berlatih kerana saya merasakan bahawa lebih banyak latikan akan membawa saya lebih dekat kepada impian saya bermain papan selaju.” – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda