Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atlet para berlepas ke Hangzhou

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Kontinjen Brunei Darussalam terdiri daripada seorang chef de mission, seorang urus setia, seorang jurulatih dan seorang atlet pagi tadi meninggalkan negara bagi menyertai Sukan Para Asia ke-4 2022 di Hangzhou, China yang akan diadakan secara rasminya bermula 22 hingga 28 Oktober.

    Kontinjen negara akan menyertai acara lontar peluru F55, lempar cakera F54/55/56, dan rejam lembing F55.

    Hadir bagi menyempurnakan penyerahan bendera negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Turut hadir ialah Duta Besar Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo; Setiausaha Tetap (Kesukanan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Belia dan Sukan.

    Chef de mission, Haji Ali Yusri bin Abdul Ghafor ketika ditemu bual berkata, atlet negara telah melalui banyak latihan sejak awal dan setelah balik dari Sukan Para ASEAN di Kemboja dengan membawa pulang tiga pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa.

    Walau bagaimanapun, pada tahun ini, pihak penganjur telah melaksanakan sistem pemilihan baharu dengan menetapkan bahawa acara sukan para olahraga hendaklah memenuhi kriteria yang ditetapkan berdasarkan Standard Kelayakan Minimum (MQS) bagi setiap acara yang disertai seperti aktif menyertai kejohanan jemputan anjuran Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).

    “Berdasarkan hasil ujian kelayakan berkenaan, hanya seorang daripada empat atlet negara ini yang layak disokong untuk menyertai kejohanan berkenaan,” katanya.

    “Oleh itu, saya berharap lebih ramai ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa untuk tampil ke hadapan bagi menyertai kontinjen atlet para negara.”

    Selain daripada harapan itu, beliau berkata kontinjen negara akan cuba berikan yang terbaik dalam pertandingan berkenaan. Temasya sukan kali ini merupakan penyertaan Negara Brunei Darussalam yang keempat.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bergambar ramai dengan kontinjen negara di LTAB. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda