Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atlet renang negara tampil rekod cemerlang

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Kejohanan Renang Terbuka dan Masters Brunei ke-7 dan Kejohanan Renang 7 hingga 9 Tahun, yang diadakan di Kolam Renang Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) dari 17 hingga 19 November 2023 anjuran Persatuan Renang Brunei Darussalam (BDSA) telah menyaksikan persembahan yang mengagumkan, dengan para atlet renang negara berjaya memecahkan rekod dan mencipta pencapaian cemerlang.

    Dalam kejohanan tersebut, beberapa atlet perenang negara telah berjaya menampilkan rekod pencapaian yang cukup membanggakan antaranya adalah Zeke Chan dari Mabohai Swimming Club, yang berjaya merekodkan catatan masa 52.05s bagi acara renang gaya bebas 100m; 4:08.06s bagi acara renang gaya bebas 400m; 57.23s bagi acara renang gaya kuak lentang 100m; 2:05.03s bagi acara renang gaya kuak lentang 200m dan dengan masa 2:10.22s bagi Medley Individu 200m.

    Manakala Hayley Wong dari Dolphin Swimming Club berjaya mencatatkan masa 27.26s bagi acara renang gaya bebas 50m; 59.93s bagi acara renang gaya bebas 100m; 4:49.78s bagi acara renang gaya bebas 400m; 33.46s bagi acara renang gaya kuak lentang 50m; 28.78s bagi acara renang gaya kupu-kupu 50m; 1:07.03s bagi acara Medley Individu 100m dan mencatatkan masa 2:28.86s bagi Medley Individu 200m.

    Sementara Joel Ling dari Brunei Speed Swimming Club berjaya menghasilkan rekod cemerlang dalam acara gaya bebas 400m dengan catatan masa 4:12.20s; acara gaya kuak lentang 50m dengan catatan masa 27.22s; acara gaya kuak lentang 200m dengan catatan masa 2:07.16s; dan Medley Individu 200m dengan catatan masa 2:10.43s.

    Di samping itu, Kejohanan Renang bagi Kanak-Kanak berumur 7 hingga 9 Tahun memaparkan keceriaan ketara dalam kalangan perenang muda, walaupun dalam suasana hujan.

    Hayley Wong bergambar bersama pingat yang diterima pada kejohanan tersebut. – GAMBAR SERAHAN BDSA

    Kejohanan itu turut menyaksikan seorang perenang warga veteran berusia 82 tahun, Paul Yong, yang menyertai acara renang gaya kupu-kupu 25m, mencerminkan semangat yang patut diabadikan dalam sejarah sepanjang hayat sukan berkenaan.

    BDSA turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan atas sokongan yang amat berharga bagi usaha dan menyokong para atlet renang dalam kejohanan tersebut.

    Selain itu, BDSA turut berterima kasih kepada beberapa pihak penganjur yang terlibat bagi sama-sama menjayakan kejohanan tersebut antaranya Suci Water, Canon dan pihak ISB yang telah menyediakan kemudahan bagi acara itu.

    Kejohanan tersebut bukan sahaja menampilkan rekod baharu tetapi juga menjadi bukti semangat kesukanan, keazaman dan sokongan masyarakat.

    BDSA turut menantikan kejohanan lain bagi sukan tersebut pada masa depan, meneruskan tradisi kecemerlangan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda