Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Awang Nurulizam dipilih

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 12 MEI – Kira-kira 118 orang rakyat dan penduduk Kampung Merangking telah memilih Awang Nurulizam bin Haji Abdul Rahman, 36 tahun sebagai ketua kampung baharu pada sesi pengundian yang telah diadakan hari ini di Dewan Masyarakat, Kampung Merangking.

    Hadir selaku penyelia pengundian itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad, yang turut diiringi oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat dan Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah selaku Ketua Kampung Bukit Sawat.

    Turut hadir pada sesi berkenaan ialah wakil Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Mohammad Haazeq bin Arsad.

    Sepanjang sesi pengundian, kira-kira 121 pengundi telah membuang undi dengan 118 mengundi menyokong, manakala tiga pengundi yang lain menentang. Tiada undian dibuat melalui aplikasi e-undi PMKK.

    Sebagai calon tunggal Ketua Kampung Merangking, Awang Nurulizam merupakan graduan O Level yang kini bekerja sebagai pemandu di Jabatan Daerah Belait (JDB).

    Haji Amirol Hafidzin bergambar ramai dengan ketua kampung yang baharu dilantik dan penduduk kampung berkenaan. – GAMBAR DANIEL LIM

    Semasa bercakap kepada media, Ketua Kampung Merangking yang baharu dilantik merakamkan ucapan terima kasih kepada penyokong dan kehadiran semua pengundi kerana membuang undi semasa sesi tersebut diadakan.

    Dilahirkan dan dibesarkan di kampung itu, Awang Nurulizam berkata bapanya yang pernah menjadi Penghulu Mukim Bukit Sawat dari 1992 hingga 2005, berserta pengalaman sebagai pemandu JDB telah memberikan beliau perspektif unik tentang keperluan penduduk dan komuniti, bersama-sama dengan cara komuniti boleh mendapat manfaat daripada inisiatif yang dibuat oleh kerajaan.

    “Selain itu, saya juga aktif dalam majlis perundingan kampung di Kampung Merangking di mana kami telah mengetuai dan menganjurkan beberapa aktiviti untuk masyarakat seperti aktiviti sukan tahunan, hari keluarga, futsal dan perlawanan takraw,” tambahnya.

    Setelah dilantik sebagai ketua kampung yang baharu, beliau berharap dapat menggunakan peluang itu untuk memajukan lagi kampung tersebut, khususnya, mempromosikan produk tempatan termasuk hasil bumi dan kraftangan kampung berkenaan.

    “Saya juga berharap agar rakyat dan penduduk kampung akan terus menghulurkan sokongan dan bantuan bagi merealisasikan visi untuk mewujudkan masyarakat dan kampung yang lebih harmoni dan selamat,” ujarnya.

    Keputusan undian telah diserahkan kepada Lembaga Pelantikan, Disiplin dan Tatacara Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, KHEDN untuk diproses.

    Satu lagi sesi pengundian akan diadakan pada 19 Mei di Dewan Serba Guna, Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA), di mana penduduk dari Kampung Pandan D akan mengundi ketua kampung yang baharu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda