Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Azizulhasni intai gelaran dunia

    PUTRAJAYA, 21 JULAI – Selepas kejayaan mengulangi pencapaian emas berganda di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 bulan lepas, jaguh berbasikal Malaysia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang kini mengintai gelaran Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland pada 3 hingga 12 Ogos ini.

    Pelumba dikenali dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu berkata pencapaian di ACC menjadi tonik tambahan buatnya untuk mengulangi kejayaan merangkul emas acara keirin Kejohanan Dunia 2017 di Hong Kong.

    Atlet berusia 35 tahun itu juga yakin mampu mengatasi cabaran pemenang pingat emas Kejohanan Dunia sebanyak 11 kali, Harrie Lavreysen di Glasgow nanti.

    “Ketika berlumba dengan Lavreysen sebelum ini, saya rasa prestasi saya macam jauh tetapi bila melihat pencapaian di Kejohanan Asia tempoh hari, saya rasa macam petanda baik untuk mencabar beliau.

    “Matlamat saya memang nak menang pingat emas kerana mungkin ini Kejohanan Dunia terakhir saya,” katanya ketika ditemui semalam.

    Pemenang pingat perak acara keirin Olimpik Tokyo 2020 itu berkata pasukan trek kebangsaan akan bertolak ke Sepanyol esok untuk melakukan persiapan dan penyesuaian selama seminggu di sana, sebelum berlepas ke Glasgow.

    Bulan lepas, Mohd Azizulhasni meraih gelaran keirin dan pecut pada ACC di Velodrom Nasional, Nilai, sekali gus melonjakkan kedudukan beliau ke ranking ketiga dunia acara keirin serta keenam bagi acara pecut. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda