Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Balu pembunuh bersiri dibicara di mahkamah

    PARIS, 28 NOV – Balu seorang pembunuh bersiri Perancis yang dikenali sebagai ‘Ogre of the Ardennes’ dibicarakan hari ini berhubung peranannya dalam tiga pembunuhan beberapa tahun yang lalu, termasuk pembunuhan seorang wanita Britain yang mayatnya ditemui di sungai pada 1990.

    Monique Olivier merupakan isteri kepada Michel Fourniret, yang dituduh dengan penculikan, rogol dan pembunuhan tetapi meninggal dunia pada 2021, berusia 79 tahun, sebelum sempat diadili.

    Jenayah pembunuhan ini bermula pada tahun 1988 dalam kes Marie-Angele Domece, yang hilang pada usia 18 tahun dari Auxerre, dan pada tahun 1990 seorang wanita Britain berusia 20 tahun, Joanna Parrish, yang mayatnya ditemui dalam sungai Yonne di tengah Perancis.

    Olivier dituduh membantu dan bersubahat dalam penculikan dan pembunuhan gadis-gadis tersebut.

    Dakwaan ketiganya adalah kerana bersubahat dalam kehilangan Estelle Mouzin pada tahun 2003, yang berusia sembilan tahun, yang mayatnya tidak pernah ditemui, walaupun pencarian intensif dilakukan.

    Mayat Domece juga tidak pernah ditemui. Ramai saksi yang akan dipanggil dalam perbicaraan tiga minggu itu antaranya, penyiasat dari Perancis dan Belgium, di mana Fourniret ditangkap pada tahun 2003. Ini juga termasuk Sabine Kheris, hakim penyiasat yang menerima pengakuan Fourniret.

    Wanita berusia 75 tahun itu sudah dua kali disabitkan kesalahan membantu dan bersubahat dalam beberapa jenayah dilakukan oleh suaminya.

    Olivier dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada tahun 2008 atas peranannya dalam empat pembunuhan dan satu kes rogol yang dilakukan oleh Fourniret.

    Pada tahun 2018, Olivier diberi hukuman tambahan 20 tahun penjara atas perannya dalam pembunuhan Farida Hammiche, isteri salah seorang bekas rakan Fourniret. – AFP

    Monique Olivier, balu kepada pembunuh bersiri, Michel Fourniret, ketika perbicaraannya di mahkamah Nanterre, pinggir bandar Paris, pada 28 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda