Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangladesh longgar perintah berkurung

    DHAKA, 25 JULAI – Bangladesh melonggarkan lagi perintah berkurung seluruh negara itu, hari ini ketika para pelajar mempertimbangkan masa depan kempen protes mereka terhadap peraturan pengambilan perkhidmatan awam yang mencetuskan keganasan minggu lalu.

    Keganasan minggu lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 191 orang termasuk beberapa pegawai polis, menurut kiraan AFP berdasarkan laporan polis dan hospital semasa keganasan terburuk dalam tempoh pemerintahan Perdana Menteri Sheikh Hasina.

    Ribuan tentera masih mengawal bandar-bandar dan penutupan internet di seluruh negara masih berkuat kuasa, tetapi pertempuran telah reda sejak pemimpin protes mengumumkan penangguhan sementara demonstrasi baharu.

    Kerajaan Hasina mengarahkan pelonggaran lagi perintah berkurung yang dikenakan semasa puncak keganasan, membenarkan pergerakan bebas selama tujuh jam antara jam 10 pagi hingga 5 petang.

    Jalan-jalan di ibu kota Dhaka, sebuah bandar besar dengan 20 juta penduduk, sesak dengan lalu lintas komuter pada waktu pagi, beberapa hari selepas pertempuran ganas antara polis dan penunjuk perasaan menyebabkan jalan-jalan hampir sepi.

    Bank, pejabat kerajaan dan kilang pakaian yang penting kepada ekonomi negara itu telah dibuka semula kelmarin selepas semuanya ditutup minggu lalu.

    Pemimpin pelajar dijangka mengadakan pertemuan hari ini untuk memutuskan sama ada akan melanjutkan moratorium protes mereka, yang dijadualkan tamat esok.

    Students Against Discrimination, kumpulan yang bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan bulan ini, berkata ia menjangkakan beberapa konsesi daripada kerajaan.

    “Kami menuntut permohonan maaf daripada Perdana Menteri Sheikh Hasina kepada negara atas pembunuhan beramai-ramai pelajar,” kata Asif Mahmud, salah seorang penyelaras kumpulan itu kepada AFP. – AFP

    Orang ramai ketika membeli-belah di pasar selepas perintah berkurung dilonggarkan di Dhaka pada 25 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda