Thursday, March 13, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bantu individu autistik berdikari

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Usaha terus dilaksanakan bagi membantu individu autistik mendapatkan pekerjaan sebenar, menerima gaji dan meneroka hala tuju berdikari menerusi penyertaan mereka dalam alam pekerjaan yang disediakan melalui perusahaan yang dilaksanakan oleh SMARTER Brunei.

    Perusahaan yang dilaksanakan bukan sahaja semata-mata dihasratkan untuk mendapatkan keuntungan tetapi memberikan peluang kepada mereka memasuki alam pekerjaan serta membantu mengurangkan kadar pengangguran negara dengan membangunkan tenaga kerja khusus.

    Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Presiden SMARTER Brunei, Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah dalam kata alu-aluannya pada Majlis Pembukaan Semula SMARTER Autism Shop yang berlangsung di Brunei Autism Centre for Adult (BACA) Gift Centre, Kampung Sungai Hanching, hari ini.

    Hadir menyempurnakan pelancaran semula kedai amal berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Perundangan, Antarabangsa dan Penyelidikan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Ahmad Nizam bin Dato Paduka Haji Ismail.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden SMARTER Brunei, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang, jemputan khas, rakan-rakan dan keluarga SMARTER Brunei. Sharifah Adila Surya menyatakan lagi mereka berhasrat memperkasakan warga tempatan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan untuk menyokong bukan sahaja individu autistik tetapi juga masyarakat meluas di mana dengan melabur dalam kemahiran khusus, ia dapat memastikan Brunei lebih kukuh dan inklusif.

    Sementara itu, Pengiran Zamri dalam ucapannya menyatakan SMARTER Brunei merupakan sebuah organisasi yang menyediakan perkhidmatan sokongan, latihan dan pendidikan untuk membantu serta menyokong kanak-kanak autistik membolehkan mereka untuk membangun dan berjaya dalam kehidupan mereka.

    SMARTER Brunei, tambahnya lagi, juga komited untuk memperkasa masyarakat untuk menjadi lebih inklusif, menerima dan memahami akan keperluan komuniti autistik di negara ini. Penubuhan semula SMARTER Autism Shop dihasratkan untuk membantu mengumpul dana bagi menyokong pelaksanaan program-program SMARTER yang memberikan manfaat kepada kanak-kanak autistik. Kedai itu juga merupakan sebuah inisiatif yang menyediakan sebuah platform untuk mengumpul dana menerusi jualan kepada orang ramai.

    Haji Ahmad Nizam semasa menyempurnakan pelancaran semula kedai amal berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Haji Ahmad Nizam meninjau SMARTER Autism Shop semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda