Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bayern benam PSG dalam Liga juara-juara

    PARIS, 15 FEB – Kingsley Coman menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika Bayern Munich menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 1-0 pada perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara kelmarin, setelah jaringan yang dihasilkan oleh Kylian Mbappe dibatalkan kerana ofsaid.

    Coman menjaringkan gol melalui hantaran lintang Alphonso Davies pada minit kelapan separuh masa kedua di Parc des Princes, tepat ketika Mbappe sedang bersiap sedia untuk dimasukkan sekembalinya daripada kecederaan selepas PSG kelihatan ketandusan idea tanpa penjaring terbanyak mereka.

    Mbappe, dan seluruh stadium, menyangka dia telah menyamakan kedudukan ketika berbaki lapan minit apabila dia melakukan rembatan melalui hantaran daripada Nuno Mendes, tetapi gol itu dibatalkan kerana pemain pertahanan Portugal telah mendahului pemain pertahanan terakhir pada awal aksi tersebut.

    Bayern menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Benjamin Pavard dilayangkan kad merah, tetapi ia adalah pengakhiran yang mengecewakan untuk PSG.

    Skuad Perancis itu kelihatan jauh lebih baik semasa menyerang dengan Mbappe di atas padang tetapi juga memerlukan aksi menyelamat yang baik dari Gianluigi Donnarumma untuk mengelakkan defisit yang lebih besar.

    PSG mesti berharap untuk mengubah kedudukan dalam perlawanan kedua di Munich pada 8 Mac.

    Coman, yang memulakan kariernya di Paris, tidak meraikan golnya tetapi ia adalah satu sejarah yang berulang di mana dia menjadi punca kemenangan perlawanan apabila Bayern menewaskan kelab milik Qatar itu pada final 2020 di Lisbon untuk menjadi juara Eropah bagi kali keenam.

    “Ia agak pelik. Saya dibesarkan di kelab ini, di bandar ini, saya dilahirkan di sini, jadi sukar untuk diraikan tetapi pada akhirnya kami sangat gembira dengan kemenangan itu,” kata Coman.

    Mbappe telah mendominasi permainan, dengan bintang Perancis itu pada mulanya diketepikan kerana kecederaan paha sebelum kembali menjalani latihan lebih awal daripada jangkaan dan disenaraikan dalam skuad. – AFP

    Reaksi Kingsley Coman setelah menjaringkan gol kemenangan ke atas PSG di Stadium Parc des Princes di Perancis. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda