Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    BBBF erat hubungan silaturahim

    Oleh Nurdiyanah R.-

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MEI – Forum Perniagaan Britain Brunei (BBBF) telah menganjurkan acara minum petang eksklusif dengan menghimpunkan ahli-ahlinya bersama Ketua Komersial untuk Eksport/Penjualan B2B Antarabangsa, Tom Richards; dan Pengurus Kanan Perniagaan – Antarabangsa di Waitrose & Partners, Firoza Kholwadia, baru-baru ini.

    Acara yang diadakan di Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) itu, menawarkan peluang unik kepada golongan pemimpin perniagaan tempatan untuk melibatkan diri bersama wakil-wakil daripada jenama British yang berprestij, terkenal dengan sejarah 120 tahun dan pertumbuhan serantau yang ketara.

    Dalam pada itu, ahli-ahli turut berpeluang mendengar tentang perjalanan jenama dan inisiatif strategik di rantau ini.

    Pengerusi BBBF, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim, dalam satu kenyataan yang disampaikan oleh Ahli Jawatan-kuasa Eksekutif BBBF dan juga COO dan Timbalan Pengetua di LCB, Dr Siva Subramaniam berkata, BBBF berbesar hati untuk menganjurkan acara berkenaan untuk ahli-ahli mereka bertemu wakil-wakil dari Waitrose & Partners, jenama yang sinonim dengan kualiti dan warisan.

    “Acara ini menandakan langkah penting dalam memupuk hubungan perniagaan yang lebih erat dalam kalangan ahli kami dan untuk Waitrose & Partners memahami dinamik pasaran runcit tempatan kami,” tambahnya.

    Dalam ucapan itu, beliau turut mengucapkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Suruhanjaya Tinggi British di Brunei Darussalam dan LCB atas sokongan tidak ternilai mereka untuk bekerjasama dengan BBBF dalam membawa acara itu kepada komuniti perniagaan tempatan.

    Forum berkenaan telah diakhiri dengan sesi rangkaian, di mana para hadirin berpeluang untuk berbincang secara mendalam dengan delegasi tersebut dan menikmati minum petang bersama produk Waitrose yang terdapat di Negara Brunei Darussalam, di mana ia disediakan oleh cef dan pelajar Sekolah Kulinari LCB.

    Dr Siva Subramaniam dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British, Catherine Pochkhanavala-Cleeve pada majlis minum petang. – GAMBAR SERAHAN BBBF
    Dr Siva Subramaniam (kiri) dan Catherine Pochkhanavala-Cleeve (tiga kanan) bersama wakil-wakil dari Waitrose & Partners dan cef serta pelajar LCB bergambar ramai. – GAMBAR SERAHAN BBBF

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda