Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beatles bakal keluarkan lagu baharu yang terakhir

    NEW YORK, 27 OKT — Enam puluh tahun selepas kemunculan Beatlemania dan dengan dua daripada empat ahli kumpulannya kini meninggal dunia, kecerdasan buatan (AI) telah membolehkan pengeluaran lagu yang dikatakan sebagai lagu Beatles ‘baharu’ yang terakhir pada minggu depan.

    Lagu tersebut, yang diberi nama Now And Then, akan tersedia pada 2 November, sebagai sebahagian daripada single yang dipadankan dengan Love Me Do, single Beatles pertama yang dikeluarkan pada 1962 di England, seperti yang diumumkan kelmarin.

    Now And Then datang daripada set demo yang belum dikeluarkan yang ditulis oleh mendiang John Lennon, yang diambil oleh bekas rakan kumpulannya untuk membina lagu Free As a Bird dan Real Love, yang dikeluarkan pada pertengahan 1990an.

    Paul McCartney, Ringo Starr dan George Harrison bekerja pada Now And Then dalam sesi yang sama, namun keterbatasan teknologi menghalang.

    Dengan bantuan AI, pengarah Peter Jackson mengatasi masalah tersebut dengan ‘memisahkan’ vokal asal Lennon daripada piano yang digunakan pada akhir 1970an. Vokal yang jauh lebih jelas membolehkan McCartney dan Starr menyiapkan lagu tersebut tahun lepas.

    “Itulah suara John, sungguh jelas,” kata McCartney dalam pengumuman tersebut. “Ia agak emosional. Dan kami semua bermain dalamnya, ia adalah rakaman Beatles yang tulen. Pada tahun 2023, untuk masih mengusahakan muzik Beatles, dan akan mengeluarkan lagu baharu yang belum pernah didengari oleh orang ramai, saya rasa ia adalah satu perkara yang cukup menarik,” tambahnya.

    “Ini adalah lagu terakhir, yang paling akhir, di mana awda akan mendengar keempat-empat Beatles dalam lagu itu. John, Paul, George, dan Ringo,” kata Starr dalam temu bual dengan The Associated Press baru-baru ini. – AP

    Gambar fail bertarikh 9 Februari 1964 menunjukkan The Beatles yang terdiri daripada Paul McCartney, George Harrison, John Lennon dan Ringo Starr membuat persembahan di CBS ‘Ed Sullivan Show’ di New York. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda