Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekalan darah diperlukan di seluruh negara

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Bekalan darah di Pusat Pendermaan Darah dan Tabung-tabung Darah di seluruh negara adalah di tahap yang rendah pada masa ini.

    Penderma darah kumpulan A,B dan AB adalah diperlukan dengan segera bagi menampung keperluan pemindahan darah di kesemua hospital di negara ini.

    Kementerian Kesihatan menyeru orang ramai tampil ke hadapan bagi sama-sama membantu meningkatkan bekalan darah di Negara Brunei Darussalam dengan menderma darah.

    Orang ramai yang ingin menderma darah boleh berkunjung terus ke Pusat Pendermaan Darah atau Tabung-Tabung Darah berkenaan bermula pukul 8.00 pagi hingga 11.30 pagi dan pukul 1.30 petang hingga 3.30 petang pada hari-hari bekerja.

    Dalam hubungan itu, Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan akan mengadakan kempen-kempen derma darah yang dibukakan penyertaan kepada orang ramai pada 24 November di Masjid Kampung Bengkurong anjuran Ahli Majlis Takmir Masjid Kampung Bengkurong bermula pukul 8.30 pagi hingga 11.00 pagi dan pada 25 November di NBT Lexus Showroom Gadong anjuran Rotary Club Bandar Seri Begawan bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang.

    Di samping itu, Tabung Darah Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Temburong juga akan mengadakan kempen derma darah pada 26 November di Dewan Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong sempena Festival Hari Keluarga bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang.

    Orang ramai adalah dialu-alukan untuk tampil ke hadapan bagi menjayakan serta menderma darah untuk sama-sama membantu mengekalkan bekalan stok darah di Negara Brunei Darussalam.

    Para penderma darah yang berminat adalah digalakkan untuk membuat tempahan slot derma darah melalui aplikasi BloodKad bagi kempen derma darah berkenaan.

     

    Gambar freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda