Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Dalam usaha meningkatkan kemahiran dan teknik menangani pelbagai masalah Rakan Seliaan (RS) bagi persatuan dan agensi kerajaan serta swasta, Persatuan Pemedulian Sokongan Selepas Penjagaan (AFSA) melaksanakan Bengkel Keberkesanan Rehalibitasai dan Reintegrasi Mengendalikan RS yang berlangsung di Hotel J, Kiulap, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan perasmian bengkel selama dua hari itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/Bengkel-3.jpg)
Turut hadir, Pemangku Pengarah Penjara, Jabatan Penjara, Awang Bahrin bin Haji Yassin; Presiden PENGASIH Malaysia, Hafizi Harun; Penasihat AFSA, Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Yang Dipertua AFSA, Hajah Juhana binti Haji Muhd Jaya; pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli-ahli AFSA, rakan-rakan strategik dan peserta-peserta bengkel.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/Bengkel-1.jpg)
Dalam kata alu-aluannya, Hajah Juhana menyatakan bengkel itu bermatlamat memberikan pendedahan kepada para peserta tentang prosedur dan tatacara yang betul bagi menghadapi pelbagai kerenah RS, meningkatkan kemahiran terkini ketika berhadapan RS serta menimba dan mempelajari pelbagai pengalaman dan situasi yang dihadapi oleh Persatuan PENGASIH Malaysia.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/Bengkel-2.jpg)
Bengkel itu disertai rakan-rakan strategik AFSA yang terdiri daripada persatuan, agensi kerajaan dan swasta yang terlibat secara langsung dengan membantu serta menolong RS.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/Bengkel-4.jpg)
Bengkel yang disampaikan dua orang penceramah itu menumpukan pada tatacara rehabilitasi terkini bagi membantu RS dan kaedah-kaedah reintegrasi semula bagi RS berkenaan serta menghuraikan teknik dan kemahiran yang berkesan seperti yang diamalkan dan diguna pakai di rantau ini.
Selain itu, bengkel juga mendedahkan pengalaman di Pusat PENGASIH dalam pelbagai rawatan dan program yang dilaksanakan bagi membantu RS di pusat berkenaan.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/Bengkel-5.jpg)