Saturday, May 11, 2024
31.6 C
Brunei

    -

    Berangkat ke Mesyuarat AELM pada 18 November

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijangka akan berangkat menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi (APEC) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (AELM) ke-29 pada 18 dan 19 November di Bangkok, Thailand.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijangka akan menyertai Mesyuarat AELM yang bakal dipengerusikan oleh Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Prayut Chan-o-cha selaku Pengerusi APEC bagi tahun 2022.

    Semasa AELM ini juga, ketua-ketua ekonomi dijangka menghadiri Royal Audience bersama Raja Thailand, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maha Vajiralongkorn Phra Vajiraklaochaoyuhua dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Suthida Bajrasudhabimalalakshana.

    Selain itu, ketua-ketua ekonomi juga akan menghadiri dialog bersama beberapa tetamu khas pengerusi; Putera Mahkota dan Perdana Menteri Kerajaan Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud; Presiden Republik Perancis, TYT Emmanuel Macron.

    Ketua-ketua ekonomi juga akan mendengarkan pembentangan daripada Pengarah Urusan Dana Monetari Antarabangsa (IMF) mengenai 2022 Global Economic Outlook di salah satu sesi AELM.

    Bendera bagi sidang kemuncak APEC di Bangkok pada 14 November. – AFP

    Negara Brunei Darussalam merupakan salah satu daripada 12 ekonomi pengasas (founding member economies) yang telah menubuhkan APEC pada 1989.

    APEC bermula sebagai satu forum informal di tahap pegawai-pegawai kanan dan menteri-menteri ahli-ahli ekonomi untuk membincangkan dan meningkatkan perdagangan dan kerjasama ekonomi di rantau Asia Pasifik.

    Sejak tahun 1993, Mesyuarat AELM diadakan secara tahunan untuk meningkatkan visi strategik dan arah tuju bagi kerjasama di rantau tersebut.

    APEC, yang kini terdiri daripada 21 ahli ekonomi merupakan sebuah platform bagi kerjasama untuk meluaskan dan mengembangkan pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan pelaburan di rantau Asia Pasifik.

    Mesyuarat AELM tahunan kali ini diadakan secara fizikal.

    Di bawah tema APEC 2022 iaitu Open. Connect. Balance. dalam meneruskan usaha mencapai pembangunan ekonomi yang lebih seimbang dan mampan pasca COVID-19, perbincangan akan menumpukan kepada mempermudah perdagangan dan pelaburan yang terbuka, menambah baik persekitaran perniagaan dan memajukan integrasi ekonomi serantau.

    Selain itu untuk memulihkan kesalinghubungan dengan menyambung semula perjalanan rentas sempadan, menggiatkan semula sektor-sektor pelancongan dan perkhidmatan, memudah cara pergerakan perniagaan (business mobility) dan meningkatkan pelaburan dalam keselamatan kesihatan serta memastikan matlamat ekonomi dicapai secara inklusif dan berdaya tahan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bekas PM Fiji dipenjara salah guna kuasa

    SUVA, FIJI, 10 MEI - Bekas Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama, dijatuhi hukuman penjara selama setahun hari ini atas kesalahan menghalang proses keadilan selepas...