Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beri perhatian kesihatan payudara

    Oleh Nurdiyanah R.-

    TUTONG, 26 NOV – Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei (BBCSG) dengan sokongan Jabatan Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah mengungkayahkan Majlis Forum Payudara Aset Berharga, Jagalah!, pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan majlis forum yang dilaksanakan di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Chong Chin Yee.

    Dalam ucapan alu-aluan, Yang Di-Pertua BBCSG, Hajah Aminah binti Haji Momin juga selaku pengerusi majlis antaranya menjelaskan bahawa majlis forum bersempena Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2023 itu merupakan seruan kepada masyarakat untuk sentiasa memberikan perhatian sewajarnya dalam menjaga kesihatan diri khususnya payudara.

    Menurutnya, dengan majlis forum sedemikian secara tidak langsung ia diharap dapat membantu membarigakan lagi peranan dan tanggungjawab semua pihak untuk sentiasa menjaga kesihatan dan memeriksa payudara sendiri secara berkala, menjalani gaya hidup yang sihat dan membuat mamogram bermula dari umur 40 tahun.

    Majlis forum berkenaan telah memuatkan dua sesi perbincangan yang dikendalikan oleh Hajah Jainah binti Haji Musa selaku pemudah cara.

    Bagi sesi pertama, perbincangan telah disampaikan oleh tiga orang ahli panel jemputan pakar perubatan iaitu Konsultan Onkologi dan Pakar Perubatan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Profesor Madya Dr Haji Muhammad Syafiq bin Abdullah; Konsultan Onkologi Perubatan di Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), Dr Haji Raden Mas Jeffri bin Raden Mas Ismail; dan Konsultan dalam Pembedahan Payudara di Hospital RIPAS, Hospital Suri Seri Begawan (SSB) dan Jerudong Park Medical Centre (JPMC), Dr Hajah Amalinda binti Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi.

    Manakala itu, sesi kedua pula telah menyaksikan perkongsian tiga orang survivor kanser payudara terdiri daripada Dayang Rozita binti Haji Tamin, Hajah Zaliha binti Haji Ibrahim dan Dayang Siti Faizahanisah binti Awang Mahani.

    Sesi soal jawab dan taklimat mengenai demonstrasi pemeriksaan sendiri payudara turut diadakan di akhir majlis di samping pameran berkisar kesedaran kanser payudara daripada BBCSG dan produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P).

    Salah seorang ahli panel semasa forum tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Yang Berhormat Chong Chin Yee hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan Majlis Forum Payudara Aset Berharga, Jagalah! di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda