Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersama menggapai perancangan kewangan lebih terarah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Di mana-mana, peningkatan kos sara hidup mahupun barangan keperluan merupakan antara isu yang tidak habis-habis diperkatakan oleh semua orang dari tahun ke tahun.

    Oleh yang demikian, perancangan kewangan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seseorang tidak kiralah sama ada golongan yang sudah berkahwin mahupun yang masih bujang demi memastikan sara diri dan tanggungan mencukupi.

    Hal ini termasuklah melakukan amalan berjimat cermat yang merupakan salah satu aspek terpenting dalam membina asas kewangan yang kukuh. Sebagai ibu bapa perlu memainkan peranan mendidik anak-anak sejak kecil lagi bak kata peribahasa yang lazim didengar, ‘melentur buluh biar dari rebungnya’.

    BERI WANG BELANJA SECUKUPNYA

    Tidak dinafikan juga ada kalanya ibu bapa atau penjaga mahupun ketua keluarga berasa runsing mengenai jumlah kewangan bulanan yang perlu diperuntukkan bagi menampung perbelanjaan anak-anak atau orang-orang di bawah tanggungan.

    Tambahan lagi, lumrah anak-anak kecil yang tidak mudah mengerti mengenai kegigihan dan usaha yang perlu dilakukan untuk mencari wang bagi menyara kehidupan seseorang individu. Salah satu tip yang boleh diterapkan ialah jangan terlalu memanjakan anak-anak dengan memberikan duit belanja yang terlalu banyak. Bukan melatih seseorang ibu bapa itu menjadi kedekut, tetapi bagi wang belanja secukupnya sahaja. Misalnya, jika mereka menginginkan duit lebih, boleh minta mereka melakukan kerja-kerja rumah seperti membasuh pinggan, melipat pakaian, tolong mencuci kereta dan sebagainya. Sekurang-kurangnya itu dapat mengajar mereka bahawa bukan mudah bagi mendapatkan duit tanpa adanya usaha. Jadi mereka terpaksa berjimat dengan duit yang ada.

    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    DIDIK MENYIMPAN DUIT TERLEBIH DAHULU

    Zaman kanak-kanak sekarang amat berbeza dengan dahulu. Era moden kini mereka lebih terdedah dengan permainan video serta gajet yang bukan calang-calang harganya.

    Meskipun ibu bapa atau penjaga mampu namun sewajarnya didiklah anak-anak menabung untuk membeli barangan yang dihajati. Perkara itu adalah untuk melatih diri mereka supaya terus menabung duit sebelum boleh membeli sesuatu yang mereka hajati. Cara tersebut akan membuatkan mereka menjadi lebih menghargai duit serta barangan tersebut kerana mereka telah bersusah-payah menabung.

    SEDIAKAN TABUNG COMEL

    Amalan itu memang paling penting. Setiap anak perlu dididik dari awal lagi untuk menabung. Sebagai langkah permulaan, ibu bapa atau penjaga mungkin boleh memberikan mereka tabung comel bagi membolehkan mereka memasukkan duit syiling atau kertas sendiri.

    Apa yang perlu dilakukan ialah setiap kali mereka pulang ke sekolah, tanyakan berapa baki duit yang tinggal dan galakkan mereka untuk menyimpan duit mereka ke dalam tabung tersebut. Apabila duit dalam tabung sudah penuh, masukkan ke dalam akaun simpanan mereka masing-masing.

    SELITKAN PENGAJARAN KEWANGAN MELALUI PERMAINAN

    Daripada membiarkan mereka leka dengan gajet serta permainan video, apa kata tawan minat mereka dengan permainan merangsang minda seperti Saidina, Monopoly dan sebagainya pada masa lapang bersama.

    Permainan-permainan sedemikian bukan sahaja baik bagi merangsang minda mereka, tetapi ianya dapat mengajar mereka tentang ilmu kewangan pada usia yang muda di samping dapat mengeratkan jalinan kekeluargaan.

    MODEL PERANAN KEPADA ANAK-ANAK

    Begitu penting sebagai ibu bapa atau penjaga untuk menjadi contoh yang lebih baik dalam berbelanja di hadapan anak-anak iaitu dengan menjauhi sikap boros dari semasa ke semasa.

    Dalam hal itu, ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa membiasakan ketika membawa anak-anak membeli-belah bersama mengajar mereka membandingkan harga barangan dan pastikan mereka membeli sesuatu yang perlu sahaja. Maka secara tidak langsung, ia akan mengajar mereka untuk lebih mengutamakan barangan keperluan daripada melayan kehendak semata-mata ketika berbelanja.

    Oleh yang demikian, di saat kita menempuhi dunia yang semakin mencabar, maka begitu mustahak bagi ibu bapa atau penjaga mendidik anak-anak tentang sikap berjimat cermat sejak dari kecil lagi agar kita sekeluarga akan celik tentang betapa pentingnya ilmu kewangan untuk kepentingan kini dan juga menjamin masa depan yang lebih baik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda