Penyanyi rap Drake memfailkan saman terhadap syarikat rakamannya sendiri iaitu Universal Music Group (UMG) susulan pergaduhannya dengan Kendrick Lamar.
Drake mendakwa UMG sengaja melepaskan lagu Kendrick berjudul Not Like Us yang menuduhnya mempunyai hubungan dengan remaja bawah umur.
Menyangkal dakwaan tersebut, lagu itu sebaliknya menyebabkan Drake terancam sehingga berdepan insiden tembakan di rumahnya oleh individu tidak dikenali.
Apa membuatkan dia lebih kesal, keselamatan anak lelakinya juga terancam.
Memetik laporan mStar, Drake mendakwa UMG sengaja mempromosikan lagu tersebut demi keuntungan kewangan tanpa mempedulikan keselamatan artis mereka.
UMG bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menegaskan bahawa mereka tidak berniat merosakkan reputasi mana-mana artis termasuk Drake yang dianggap aset syarikat.
Perseturuan antara Drake dan Lamar bermula sejak tahun lalu apabila mereka sering mengeluarkan diss track yang menyasarkan antara satu sama lain.
Lagu Not Like Us oleh Lamar mencatat kejayaan besar apabila menduduki carta teratas Billboard Hot 100 dan memperoleh lebih satu bilion penstriman di Spotify.
Sebelum ini, Drake pernah menarik balik saman terhadap Spotify dan UMG berhubung dakwaan penstriman palsu untuk lagu tersebut.
Namun, saman fitnah terhadap UMG masih diteruskan kerana konflik di antaranya dan Kendrick masih belum selesai. – Agensi