Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bicara kes penggubahan wang haram Najib bermula September

    KUALA LUMPUR, 19 JAN – Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, Malaysia, menetapkan lima hari pada September untuk mendengar tiga lagi pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan masih mempertimbangkan surat representasi yang dihantar bekas perdana menteri Malaysia itu Ogos lepas.

    Pada permulaan prosiding, Mohd Ashrof memaklumkan hakim bahawa pihak pendakwaan masih memerlukan masa untuk mempertimbangkan representasi justeru, beliau memohon tarikh lain untuk pengurusan kes.

    “Disebabkan keadaan itu, pihak pendakwaan tidak boleh membuat keputusan  berkenaan representasi yang dihantar oleh Shafee & Co. Kami dengan rendah hati memohon masa lagi, Yang Arif,” kata pendakwa raya.

    Sehubungan itu, peguam utama Najib berkata memandangkan kes itu tergantung selama bertahun-tahun, maka mahkamah perlu memerintahkan agar anak guamnya dilepas dan dibebaskan.

    “Yang Arif, perkara ini (pertuduhan penggubahan wang haram) adalah sebahagian daripada kes SRC. Terdapat terlalu banyak pengurusan kes yang telah ditetapkan sebelum ini.

    “Kita boleh lihat kesukaran pihak pendakwaan…justeru, memohon mahkamah agar memberi perintah pelepasan dan pembebasan (DAA) kepada anak guam saya,” kata Muhammad Shafee sambil menambah ia wajar demi kepentingan keadilan terhadap Najib.

    Mohd Ashrof yang tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee, telah meminta mahkamah menetapkan satu tarikh lagi untuk pengurusan kes.

    Ketika ini, Hakim Muniandy membalas bahawa kes itu mesti diteruskan dengan perbicaraan kerana tertuduh telah didakwa pada 2019.

    “Setelah mempertimbangkan hujah pihak pendakwaan dan pembelaan, dan sebagai ganti fakta bahawa ia hanya tarikh pengurusan kes hari ini, mahkamah ini akan meneruskan perbicaraan dan menetapkan tarikh.

    “Sekiranya pihak pendakwaan tidak dapat meneruskan kes mereka pada hari itu (17 September)  pihak pembelaan bebas untuk memohon perintah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atau dibebas dan dilepaskan (DAA),” kata hakim Muniandy.

    Mahkamah kemudian menetapkan 17, 18, 19, 23 dan 24 September untuk mendengar kes itu. Mahkamah juga menetapkan 12 Mac untuk pengurusan kes kepada kemas kini pihak pendakwaan mengenai representasi itu.

    Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group,  Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Dia berdepan denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang kerana penyelewengan dana SRC menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – Bernama

    Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda