Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Bilik Perang Hijau’ atasi pencemaran udara

    NEW DELHI – Musuh tidak dapat dilihat dan tidak adanya askar, tetapi ‘Bilik Perang Hijau’ baharu di ibu negara India sedang memerangi pencemaran udara yang mengurangkan jangka hayat penduduk lebih daripada satu dekad.

    “Ia adalah kecemasan pencemaran,” kata Menteri Alam Sekitar, Gopal Rai untuk bandaraya megapolis yang pesat berkembang dengan lebih daripada 20 juta penduduk, yang secara konsisten dinilai sebagai ibu negara terburuk di dunia dari segi kualiti udara.

    Rai menggelarkan masalah itu sebagai ‘malapetaka udara.’

    Usaha terkini New Delhi bagi mengatasi masalah yang berlarutan selama beberapa dekad itu adalah dengan menubuhkan pusat penyelarasan berteknologi tinggi, di mana 17 pakar memantau skrin besar yang menyiarkan secara langsung tempat-tempat pencemaran, menyiar gambar satelit NASA dan mengemas kini pengesan indeks kualiti udara (AQI).

    Di Delhi, paras bahan pencemar PM2.5 zarah mikro yang menyebabkan kanser dan masuk ke dalam aliran darah melalui paru-paru, sering kali melebihi had bahaya yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak lebih daripada 30 kali.

    Pihak berkuasa negeri memantau skrin indeks kualiti udara di dalam ‘Bilik Perang Hijau’. – AFP
    Senapang anti-asap beroperasi untuk membendung pencemaran udara ketika kenderaan melalui jalan di New Delhi pada 25 Oktober 2021. – AFP
    Orang ramai berjalan dalam keadaan berkabus di India Gate. – AFP
    Asap berkepul dari tapak pembinaan. – AFP

    Pada Jumaat, sekolah-sekolah ditutup di seluruh bandaraya kerana asbut kelabu tebal menyelubungi kawasan tersebut, menjadikan kehidupan sukar bagi penduduk berjumlah 30 juta orang itu.

    Rata-rata penduduk bandar boleh mati hampir 12 tahun lebih awal akibat pencemaran udara, menurut laporan Ogos tahun lalu oleh Institut Dasar Tenaga Universiti Chicago.

    Asbut yang memedihkan mata dan membakar paru-paru semakin teruk semasa musim sejuk dari Oktober hingga Februari, apabila udara yang lebih sejuk memerangkap pencemaran udara dan penduduk dinasihatkan supaya sentiasa memakai pelitup muka ketika berada di luar.

    Bulan lalu, New Delhi membuka hab penyelarasan pencemaran yang menghubungkan 28 jabatan kerajaan, dilengkapi dengan tanda ‘Bilik Perang Hijau’ untuk mengesan lokasi tepat tapak pencemaran.

    “Sebaik sahaja AQI bertambah buruk, kami memaklumkan pasukan kami di lapangan dan mereka mengambil tindakan segera,” kata jurutera alam sekitar Bilik Perang, Anurag Pawar.

    Kilang yang bermasalah boleh diberikan notis, kebakaran sampah dipadamkan, kenderaan yang mengeluarkan asap hitam dihentikan, pertunjukan bunga api untuk perayaan diharamkan dan trak menyembur air dihantar untuk menghilangkan habuk.

    Namun masalah utama yang masih di luar kawalan mereka adalah kebakaran ladang yang dicetuskan oleh petani di sekitar Delhi untuk membersihkan sawah padi selepas musim menuai bagi musim penanaman berikutnya.

    Menurut kajian dalam jurnal perubatan Lancet, kebakaran ladang boleh menyelubungi bandar dalam asbut kuning-kelabu yang menyebabkan hampir 17,500 kematian pramatang pada tahun 2019.

    “Pencemaran udara adalah salah satu risiko alam sekitar yang terbesar terhadap kesihatan,” WHO mengingatkan, ia boleh menyebabkan strok, penyakit jantung, kanser paru-paru dan penyakit pernafasan.

    Untuk mengurangkannya, pihak berkuasa Delhi mula menggunakan semburan biokimia yang mempercepatkan pereputan tanaman dan menyediakan tanah untuk penanaman.

    Tetapi niat baik untuk melaksanakan tindakan alam sekitar sering kali terbantut oleh isu-isu politik.

    Rai menyatakan bahawa lebih dua pertiga daripada pencemaran udara yang membelenggu bandar raya itu datang dari luar sempadannya, di mana pihak berkuasa bandar raya tidak mempunyai kuasa untuk bertindak.

    “Kami telah memperkenalkan bas elektrik, tetapi di negeri-negeri yang berdekatan, bas masih menggunakan diesel,” kata Rai kepada AFP.

    “Semuanya itu memberikan kesan kepada Delhi. Pencemaran dan angin tidak boleh dihadkan oleh sempadan negeri.”

    Pencemaran telah menjadi isu pertikaian politik. Ibu kota dan negeri Punjab diperintah oleh Parti Aam Aadmi, tetapi negeri-negeri jiran lain diperintah oleh saingan mereka dari Parti Bharatiya Janata (BJP), Perdana Menteri Narendra Modi.

    Para petani, kumpulan pengundi yang berpengaruh, berkata pembakaran tunggul jerami adalah mudah dan murah dan pencemaran di bandar tidak memberikan kesan kepada mereka.

    “Jelas sekali, politik mempunyai impak,” kata Rai. “Politik mewujudkan halangan apabila membabitkan pelaksanaan dasar-dasar.”

    Mengatasi pencemaran membantu memerangi isu perubahan iklim secara menyeluruh dan bertindak melindungi kesihatan awam, kata pakar.

    WHO mengatakan ‘banyak faktor pendorong pencemaran udara juga merupakan sumber pelepasan gas rumah hijau dan a dasar-dasar untuk mengurangkan pencemaran udara ‘menawarkan strategi yang menguntungkan kedua-dua iklim dan kesihatan.

    Pegawai Bilik Perang berkata mereka sedang berusaha melakukan yang terbaik dalam memantau dan mengendalikan isu-isu pencemaran seperti memantau laporan-laporan yang dihantar melalui aplikasi telefon Green Delhi, yang membolehkan penduduk menghantar gambar-gambar geolokasi masalah pencemaran.

    “Kebanyakan aduan adalah mengenai pembakaran tempat pembuangan sampah dan habuk dari tapak pembinaan,” kata Pawar.

    “Sebaik sahaja menerima aduan, kami menyelaraskan dengan pelbagai jabatan dan memastikan ia diselesaikan dengan cepat.”

    Tetapi Sunil Dahiya, seorang penganalisis dengan Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih, berkata perubahan dasar yang lebih besar diperlukan untuk menangani isu pencemaran.

    India bergantung sepenuhnya pada arang untuk penghasilan tenaga. Ia telah melihat pelepasan arang per kapita meningkat 29 peratus dalam tujuh tahun terakhir dan enggan menggunakan dasar untuk mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil yang kotor.

    India sangat bergantung pada arang batu untuk penjanaan tenaga. Ia telah menyaksikan pelepasan arang batu per kapitanya meningkat 29 peratus dalam tempoh tujuh tahun lalu dan telah mengelak untuk mengurangkan penggunaan arang batu secara berperingkat.

    Bilik Perang Hijau akan berkesan jika dilaksanakan dengan cara yang betul dalam menyekat pencemaran untuk tempoh yang tertentu,” kata Dahiya kepada AFP.

    “Tetapi Bilik Perang Hijau bukanlah penyelesaian yang mencukupi untuk mengurangkan pelepasan pencemaran. Perubahan yang lebih komprehensif dan sistematik untuk mencapai udara bersih dan mengurangkan pencemaran perlu dilakukan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda