Sunday, December 1, 2024
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bina masa depan graduan berkemahiran tinggi

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Tenaga pengajaran memainkan peranan penting bagi memastikan kelangsungan dan kecemerlangan pendidikan di institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), yang mana negara memerlukan tenaga pengajar yang bukan sahaja berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal, tetapi juga sentiasa berinovasi dan berupaya mengikuti perkembangan teknologi yang pesat.

    “Institusi pendidikan perlu terus melabur dalam pembangunan profesional tenaga pengajar bagi memastikan mereka kekal relevan dan kompeten dalam melatih generasi masa hadapan”.

    Perkara ini ditegaskan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, pada Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) ke-32, 2024 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Yang Berhormat Menteri seterusnya menyeru agar pihak IBTE terus komited dalam melaksanakan latihan berterusan bagi tenaga pengajar untuk mencapai matlamat ini.

    Katanya lagi, “IBTE memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan graduan memiliki kemahiran yang relevan dan terkini, yang mana ini membuka peluang luas untuk para graduan dalam pasaran pekerjaan, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf memberi ucapan semasa majlis konvokesyen tersebut.
    – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Salah seorang graduan menerima sijil yang diserahkan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Selain menjelaskan, “Kerjasama erat antara pihak industri dan TVET adalah kunci utama bagi memastikan kesesuaian kemahiran yang diajar dengan kehendak pasaran. Institusi ini telah membina jaringan kerjasama yang kukuh dengan pelbagai sektor industri”.

    Ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, tambahnya, malah memastikan latihan yang diberikan relevan dengan keperluan sebenar industri.

    Selain percaya kerjasama tersebut perlu diperkukuhkan lagi untuk memastikan graduan kita terus kompetitif di peringkat global, terutamanya dalam bidang-bidang teknikal yang kritikal.

    Beliau turut menjelaskan, berada dalam era Revolusi Industri Keempat, atau lebih dikenali sebagai Industri 4.0. Teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), dan Big Data Analytics, memerlukan kita untuk mengubah cara kita bekerja dan berinteraksi.

    “Dalam konteks ini, graduan TVET perlu bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran baharu dan memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh Industri 4.0,” jelasnya.

    Ini termasuk penguasaan teknologi digital, pembangunan kemahiran baharu yang berkaitan dengan automasi dan keupayaan untuk bekerja dengan sistem yang semakin canggih.

    Selain percaya bahawa IBTE telah menyediakan asas yang kukuh bagi graduan untuk menjadi peneraju dalam era ini, di mana inovasi dan kreativiti adalah amat penting.

    Katanya lagi, “Sebagai sebahagian daripada agenda global, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menggariskan arah untuk mencapai keseimbangan antara kemajuan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial”.

    “Bidang TVET memainkan peranan yang signifikan dalam mencapai matlamat-matlamat ini, khususnya dalam memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan peluang pekerjaan yang produktif,” jelasnya.

    Beliau turut melahirkan keyakinan, graduan IBTE mampu menjadi pemimpin dalam memacu pembangunan lestari melalui inovasi dalam sektor-sektor yang mereka ceburi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda