Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang amalan Doa Taubat dan Zikir Munajat

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah meneruskan Seminar Majlis Ilmu 2023 bagi sesi ketiga, pagi tadi, dengan membincangkan subtema Doa Taubat dan Zikir Munajat: Amalan Harian, Kepentingan dan Kelebihannya.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada seminar di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Pada seminar berkenaan, Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Adanan bin Haji Basar membentangkan kertas kerja mengenai Amalan Sunnah Harian untuk Kesejahteraan Hidup Keluarga.

    Beliau turut menyentuh akan pentingnya untuk mendekatkan semula umat Islam kepada prinsip-prinsip asas yang diajarkan Rasulullah SAW bagi kesejahteraan hidup setiap individu dan keluarga.

    Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Penerbitan UNISSA, Dr Hajah Sri Rahayu @ Hajah Nurjanah binti Haji Dolah pula telah menyampaikan kertas kerja bertajuk Amalan Taubat Manifesto Rabbani Jaminan Kualiti Kehidupan Sejagat.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim hadir selaku tetamu kehormat pada seminar Majlis Ilmu 2023 pada sebelah pagi, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara yang hadir semasa seminar berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Hasil dapatan kertas kerja beliau telah menunjukkan wujudnya kecenderungan dalam menanggapi amalan bertaubat dan pengaplikasiannya melalui solat, zikir dan doa secara individu mahu pun berjemaah dalam kehidupan religiositi masyarakat Muslim demi meraih keredaan Ilahi untuk kebahagiaan yang hakiki.

    Manakala itu, kertas kerja bertajuk Kesejahteraan Hidup dari Perspektif Islam pula dibentangkan oleh Profesor Madya Dr Muhammad Yusuf Khalid dari Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah, KUPU SB.

    Beliau berkata, kesejahteraan hidup dari perspektif agama Islam meliputi jasmani, emosi dan rohani, untuk mencapai kesejahteraan dalam tiga perkara ini memerlukan ilmu kemahiran dan amalan agama yang ikhlas dan istiqamah.

    Antara dapatan kajian ialah agama Islam menyediakan panduan yang jelas dan lengkap untuk keperluan jasmani, emosi dan rohani demi mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

    Seterusnya, Pegawai Perkembangan Ugama Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Dayang Nur Huwaina binti Mahmud telah menyampaikan kertas kerja bertajuk Lazimi Taubat, Kunci Landasan Penyelesaian Masalah di mana beliau menyentuh mengenai kesedaran dan kepentingan untuk melazimi dan menjadikan keinsafan sebagai asas landasan dan kunci untuk menyelesaikan masalah.

    Kertas kerja berkenaan menyimpulkan maksud taubat, kepentingan dan kesedaran untuk bertaubat dan amalan-amalan yang boleh diterapkan dalam kehidupan seharian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda