Monday, December 2, 2024
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei hos ejen pelancongan China

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) dengan kerjasama Singapore Airlines (SQ) telah menghoskan lawatan pengenalan untuk ejen pelancongan dari wilayah-wilayah utama di China termasuk Beijing, Shanghai, Guangzhou, Shenzhen, Chongqing dan Chengdu.

    Menurut kenyataan JKP, inisiatif itu bertujuan untuk mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara, memanfaatkan jalinan meluas yang ditawarkan oleh SQ.

    Semasa lawatan ke negara ini, ejen-ejen China berpeluang meneroka keunikan Brunei dengan meninjau produk dan tempat menarik termasuk lawatan ke beberapa rumah persinggahan dan resort di Daerah Temburong seperti The Abode Resort and Spa, Sumbiling Eco Village, AZ Back to Nature Campsite dan Freme Rainforest Lodge.

    Di samping itu, mereka juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti termasuk flying fox, bengkel lukisan batik dan persembahan tarian budaya tradisional.

    Jadual perjalanan juga termasuk memperkenalkan aktiviti sukan air dan lawatan ke kemudahan pantai di Serasa, serta lawatan ke tarikan popular seperti pasar malam iaitu Pasar Pelbagai Barangan Gadong, Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei serta Muzium Alat Kebesaran Diraja.

    Gambar ramai ejen pelancongan dari wilayah-wilayah utama China di Taman Mahkota, di ibu negara. – GAMBAR SERAHAN JKP

    JKP juga mengadakan sesi rangkaian bagi memberi peluang ejen pelancongan China berhubung dengan ejen pelancongan tempatan dan wakil perhotelan.

    Platform itu memudahkan lagi perbincangan mengenai potensi kerjasama dan pembangunan pakej pelancongan yang menarik untuk disesuaikan dengan pasaran China.

    Maklum balas daripada ejen adalah sangat positif di mana ramai yang menyatakan rasa teruja untuk membuat promosi mengenai Brunei kepada pelanggan mereka, dengan menyatakan tawaran Brunei yang unik dan menarik.

    Selain itu, Ejen Jualan Am (GSA) SQ berkongsi, ejen yang mengambil bahagian dalam perjalanan itu dipilih secara teliti, dengan ramai yang menjadi ejen terbaik untuk SQ.

    Oleh itu, SQ optimis dengan keramaian jumlah pelancong yang ejen-ejen itu akan bawa ke Brunei dan Singapura dalam masa terdekat.

    Sehingga September, jumlah pelancong China yang tiba melalui udara mencecah 29,740, mengatasi jumlah pelawat China pada tahun 2023 iaitu 17,008 yang mana trend pertumbuhan itu dijangka berterusan pada tahun-tahun akan datang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda