Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Budak lelaki dari Wild Boars, meninggal dunia di Britain

    BANGKOK, 16 FEB – Salah seorang daripada 12 budak lelaki yang diselamatkan dari gua dibanjiri air di Thailand pada tahun 2018 selepas terperangkap selama lebih dari dua minggu, telah meninggal dunia di akademi sukan tempatnya belajar di England, menurut yayasan yang menaja pengajiannya kelmarin.

    Duangphet Dom Phromthep, 17, ditemui tidak sedarkan diri pada Ahad di biliknya di Akademi Bola Sepak Brooke House, Leicestershire dan dibawa ke hospital di mana dia meninggal dunia pada Selasa, kata Yayasan Zico Thailand. Sekolah itu juga mengesahkan kematian remaja itu.

    “Kejadian ini telah membawa kesedihan dan menggegarkan komuniti kolej kami,” kata pengetua sekolah, Ian Smith. “Kami bersolidariti dalam kesedihan dengan keluarga Dom, rakan-rakan, bekas rakan sepasukannya dan mereka yang terlibat dalam semua aspek hidupnya, serta semua yang terjejas dengan kematian ini di Thailand dan seluruh keluarga global kolej.”

    Bekas ketua dan jurulatih pasukan kebangsaan Thailand, Kiatisuk Senamuang, yang mengetuai Yayasan Zico, berkata pada satu sidang akhbar online, bahawa beliau tidak tahu punca kematian dan mengatakan Dom tampak sihat sahaja.

    Dom merupakan kapten pasukan bola sepak remaja Wild Boars di wilayah Chiang Rai di utara Thailand dan dia bersama 12 ahli pasukan berusia 11 hingga 16 tahun serta jurulatih sedang meneroka kompleks gua Tham Luang pada Jun 2018 apabila mereka terperangkap oleh air bah yang naik dengan pantas.

    Operasi penyelamatan besar-besaran melibatkan penyelam antarabangsa dan pakar telah dilancarkan selama lebih dua minggu dan mereka terselamat. – AFP

    Gambar fail 18 Julai 2018 menunjukkan Duangpetch Promthep (tengah), salah seorang daripada budak lelaki yang diselamatkan daripada gua di Thailand semasa sidang media di Chiang Rai. Duangpetch telah meninggal dunia di Britain, menurut pihak berkuasa. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda