Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cahaya malam luar berlebihan tingkat risiko strok

    DALLAS, 26 MAC – Terlalu banyak pendedahan kepada lampu luar yang terang pada waktu malam boleh meningkatkan risiko strok seseorang, kajian baharu mendedahkan.

    Kajian itu melibatkan lebih daripada 28,000 orang yang tinggal di sebuah bandar besar di China.

    Para penyelidik mendapati individu yang terdedah kepada tahap cahaya buatan luar yang paling tinggi pada waktu malam mempunyai risiko 43 peratus lebih tinggi untuk menghidapi penyakit serebrovaskular, berbanding dengan mereka yang mempunyai tahap pendedahan yang paling rendah.

    Penyakit serebrovaskular termasuk strok dan keadaan lain yang mempengaruhi aliran darah ke otak.

    Kajian terdahulu telah mengaitkan peningkatan pendedahan cahaya buatan yang terang dengan perkembangan penyakit kardiovaskular, yang merupakan keadaan yang berkaitan dengan aliran darah dalam arteri.

    Gambar Freepik

    Penyelidik berkata kajian mereka adalah salah satu yang pertama untuk meneroka hubungan antara cahaya pada waktu malam dan kesihatan otak.

    “Kajian kami mencadangkan bahawa tahap pendedahan yang lebih tinggi kepada cahaya buatan luar pada waktu malam mungkin menjadi faktor risiko penyakit serebrovaskular,” kata pengarang bersama kajian, Dr Jianbing Wang dalam satu siaran berita.

    Wang ialah seorang penyelidik di jabatan kesihatan awam dan endokrinologi Hospital Kanak-kanak, Sekolah Perubatan Universiti Zhejiang dan Pusat Penyelidikan Klinikal Kebangsaan untuk Kesihatan Kanak-kanak di Hangzhou, China.

    Orang ramai, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan bandar, harus mempertimbangkan untuk mengurangkan pendedahan itu untuk melindungi diri mereka, katanya.

    Kajian itu diterbitkan kelmarin dalam jurnal American Heart Association.

    Kira-kira 80 peratus daripada penduduk dunia tinggal dalam persekitaran yang tercemar cahaya, kata pengarang kajian itu.

    Pendedahan berterusan kepada cahaya buatan pada waktu malam boleh menyekat pengeluaran melatonin, hormon yang menggalakkan tidur. Orang yang kurang tidur, berbanding dengan tidur yang baik, lebih berkemungkinan mengalami kesihatan kardiovaskular yang lebih teruk dari semasa ke semasa, kata para penyelidik. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda