Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Hasil kutipan daripada Acara Walkaton Sekolah St. John berjumlah $1,311.36 telah disumbangkan kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim (DANA) dalam satu majlis yang berlangsung di Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Jalan Jerambak, hari ini.
Sumbangan tersebut diterima oleh Penolong Pengarah Urusan Yayasan bagi mewakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DANA, Mejar (B) Sopian bin Haji Mohammad Yassin.
Hadir menyampaikan sumbangan berkenaan ialah Senior Master of Administration, Matthew Lim Toh Loy.
Sumbangan itu merupakan 5 peratus daripada hasil kutipan acara walkaton yang telah diadakan pada 16 November lalu.
DANA amat menghargai sokongan dan derma daripada para dermawan bagi sama-sama membantu DANA dalam usahanya untuk mempertingkatkan kesejahteraan hidup anak-anak yatim di Negara Brunei Darussalam.