Penyanyi Datuk Jamal Abdillah, 66, melahirkan kesyukuran dengan kesihatan isteri, Datin Zai Izzati dan anak damitnya, Magdalena Yamani.
“Biasanya kelahiran yang sebelum ini uri melekat, tapi kali ini kemas, lancar macam tiada apa-apa dan bersih. Kedua-dua mereka pun sihat 100 peratus.
“Mengenai pro dan kontra masyarakat mengenai kelahiran ini, saya tak boleh nak cakap apa-apa. Masyarakat ini kita buat baik pun kita kena, kita buat jahat pun kita kena.
“Bagi saya kita kena akurlah dengan gelaran public figure. Apa pun yang kita buat semua salah, semua tak betul. Tetapi segelintir sahaja kerana yang lain banyak yang bagi sokongan dan ucap tahniah,” katanya kepada Harian Metro.
Jamal berkata, keputusan agar isterinya hamil dan kelahiran anak terbaharu menerusi pembedahan bukan dibuat olehnya sendiri, tetapi, mengambil kira persetujuan isteri dan pandangan doktor.
“Isteri kata boleh buat caesar (C-section) kita buatlah. Saya ikut sahaja. Sebelum itu pun saya jumpa dengan kawan saya, seorang doktor pakar di sebuah hospital swasta.
“Dia kata dia biasa buat enam kali caesar (untuk seorang wanita bersalin). Kalau kita ini baru lima kali. Apapun selepas ini tak mungkin ada anak lagi kerana peranakan isteri dah diikat,” katanya.
Jamal secara berseloroh berkata, orang-orang yang mengecamnya seakan pakar apabila lebih pandai daripada doktor.
“Inilah masalah dunia ini. Kita buat yang jahat dan tentu kita kena, buat yang baik pun kena juga.
“Itu rezeki Allah yang bagi. Allah bagi isteri sah pada kita, apa salahnya kita bersama isteri kita nak dapat zuriat yang lebih banyak,” katanya. – Agensi