Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Denmark, Ukraine meterai perjanjian keselamatan

    COPENHAGEN, 23 FEB – Denmark, salah satu sekutu tegar Ukraine, mengumumkan kelmarin bahawa ia telah mencapai perjanjian keselamatan 10 tahun dengan Kyiv, susulan perjanjian serupa yang ditandatangani baru-baru ini oleh Berlin, London dan Paris.

    Ukraine berminat untuk mengukuhkan keselamatannya dengan perjanjian dua hala sementara ia menunggu dengan penuh harapan untuk menyertai perikatan pertahanan NATO satu hari nanti.

    “Perjanjian itu bermakna sokongan ketenteraan dan awam akan diwujudkan dalam rangka kerja untuk 10 tahun akan datang dalam perjanjian politik dua hala,” kata Kementerian Luar Denmark dalam satu kenyataan.

    Sokongan itu akan dibiayai oleh Yayasan Ukraine Denmark, yang kini dinilai pada 69.1 bilion kroner (AS$10 bilion), katanya.

    Denmark merupakan penderma bantuan ketenteraan keempat terbesar kepada Ukraine, menurut data terbaharu dari Institut Kiel untuk Ekonomi Dunia yang berpangkalan di Jerman.

    “Denmark adalah salah sebuah negara yang paling menyokong Ukraine, dan saya berasa bangga,” kata Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen kepada pemberita.

    “Komitmen ini membina jambatan peng-hubung kepada keahlihan Ukraine dalam NATO dan EU yang akan datang,” kata kerajaan dalam kenyataannya.

    Pengumuman itu dibuat ketika Kementerian Pertahanan Denmark melancarkan pakej bantuan ketenteraan ke-15 kepada Ukraine, yang bernilai 1.7 bilion kroner.

    Mereka mengatakan ia telah,melalui hubungan dengan Republik Czech, membiayai pembelian 15,000 artileri untuk dihantar ke Ukraine dalam beberapa bulan.

    Pakej itu juga termasuk pertahanan udara, bahan pembersihan periuk api dan dron.

    Mereka mengatakan jet pejuang F-16 pertama yang dijanjikan kepada Ukraine tahun lepas, bersama Belanda dan Norway, akan dihantar menjelang musim panas, ‘jika semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang’. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda