Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    DFB kecam warganet hina pemain B-17 di media sosial

    BERLIN, 24 NOV – Persatuan bola sepak Jerman (DFB) kelmarin mengecam penghinaan perkauman yang ditujukan kepada ahli pasukan kebangsaan bawah 17 tahun (B-17) di media sosial dan turut memberi amaran bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang terlibat.

    Berikutan DFB menyiarkan gambar empat ahli pasukan selepas Jerman menang 3-2 ke atas Amerika Syarikat dalam pusingan 16 terakhir Piala Dunia Bawah 17 di Indonesia, beberapa pengguna media sosial membuat beberapa komen berbaur perkauman yang menghina pemain dalam gambar tersebut antaranya termasuklah Charles Herrmann, Almugera Kabar, Paris Brunner dan Fayssal Harchaoui, di mana kesemuanya bukan berkulit putih.

    Selepas penghinaan itu, DFB mengehadkan komen pada siaran itu dan mengeluarkan kenyataan yang mengatakan, “Kami berbangga dengan kepelbagaian dalam skuad B-17 kami, yang kini bermain sepenuh hati di atas padang di Indonesia.”

    “Komitmen kami terhadap kepelbagaian tertanam kukuh dalam Statut DFB, begitu juga dengan nilai toleransi dan hormat-menghormati.

    “Jika awda tidak berkongsi nilai ini, unfollow kami. Komen diskriminasi dan perkauman tidak mempunyai tempat di sini dan akan dipadamkan sewajarnya. Kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kandungan yang menyinggung perasaan,” jelas kenyataan tersebut.

    Pemenang Piala Dunia 2014, Jerome Boateng, 35, turut memberikan komen di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter, semalam.

    “Pemain remaja kebangsaan Jerman dihina secara perkauman selepas kemenangan di Piala Dunia untuk Jerman? Pada 2023? Adakah awda serius? Bilakah ini akan berhenti?” komennya. Boateng, yang pernah menjadi mangsa penghinaan perkauman sepanjang kariernya, mengutarakan keprihatinannya terhadap insiden tersebut yang sepatutnya tidak berlaku pada zaman ini. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda