Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Di mana tempat tinggal bagi isteri yang berkabung?

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Penyediaan tempat tinggal sepanjang berkabung

    Semasa berihdad (berkabung), di samping larangan-larangan tertentu yang wajib dihindari oleh isteri yang kematian suaminya seperti berhias dan berwangi-wangian, terdapat juga beberapa perkara yang diwajibkan ke atas isteri mematuhinya sepanjang berkabung.

    Antaranya ialah tetap tinggal di rumah yang disediakan oleh suami ketika berlakunya perpisahan (kematian).

    Ini kerana menurut pendapat al-azhhar, perempuan (isteri) yang kematian suami dan tidak berlaku nusyuz adalah diwajibkan untuk disediakan tempat tinggal sehinggalah berakhir tempoh ‘iddahnya serta diperuntukkan bayaran tempat tinggal atau rumah tersebut.

    Peruntukan bayaran tersebut pula diambil daripada harta pusaka (suami) sekiranya ada.

    Malahan peruntukan bayaran untuk tempat tinggal atau rumah daripada harta pusaka suami untuk isteri yang berkabung adalah didahulukan berbanding hutang-hutang yang masih tertanggung ke atas suami.

    Gambar Freepik

    Apa yang dimaksudkan dengan rumah atau tempat tinggal di sini ialah suami mempunyai hak (mustahiq) ke atas rumah itu, sama ada rumah itu dimiliki atau disewa oleh suami, ataupun rumah yang dipinjamkan atau diwasiatkan kepadanya serta rumah kediaman tersebut adalah layak (bersesuaian) bagi isteri.

    Kewajipan menyediakan tempat tinggal bagi isteri yang kematian suami agar dia tinggal di dalamnya sepanjang tempoh menjalani ‘iddah, iaitu tempoh berkabung, adalah sama seperti kewajipan menyediakan tempat tinggal bagi isteri yang ber‘iddah kerana perceraian.

    Isteri yang ber‘iddah adalah diwajibkan menjalani tempoh ‘iddahnya ketika berlakunya perpisahan (perceraian) antaranya dan suaminya di tempat atau rumah kediaman yang disediakan oleh suami.

    Dalil dalam perkara ini adalah berdasarkan sebuah riwayat bahawa suami kepada Al-Furai‘ah binti Malik, iaitu saudara perempuan kepada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, telah terbunuh.

    Al-Furai‘ah bertanya dan meminta kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adakah boleh dia pulang kepada ahli keluarganya (Furai‘ah) daripada Bani Khudrah. Al-Furai‘ah juga menyatakan bahawa suaminya itu tidak meninggalkan tempat tinggal atau rumah yang dimiliki sendiri oleh suami serta tiada nafkah bagi dirinya.

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi keizinan kepadanya untuk pulang kepada ahli keluarganya.

    Apabila mendapat keizinan tersebut, al-Furai‘ah pun beredar (meninggalkan Baginda) sehinggalah dia tiba di satu kawasan halaman atau berdekatan masjid, terdengar olehnya dia dipanggil oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Baginda bertanya sekali lagi akan keadaan al-Furai‘ah, lalu dia menceritakan semula mengenai kisah suaminya itu. Lalu Baginda bersabda yang maksudnya:

    “Tetaplah kamu tinggal di rumahmu (di tempat engkau berada) sehingga selesai tempoh ‘iddah yang telah ditetapkan syara‘ ke atasmu.”

    Al-Furai‘ah berkata: “Aku ber‘iddah (dengan ‘iddah isteri yang kematian suami) di dalam rumah tersebut selama 4 bulan sepuluh hari.”

    (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)

    Dalam hadits di atas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberikan keizinan kepada Furai‘ah untuk tetap tinggal dalam rumah yang dia berada semasa suaminya meninggal dunia sedangkan rumah tersebut adalah milik orang lain.

    Besar kemungkinan Baginda memerintahkan sedemikian kerana Baginda mendapat tahu bahawa pemiliknya telah bermurah hati membenarkan.

    Berpindah atau keluar daripada rumah kediaman semasa berkabung

    Suami yang mempunyai hak atas suatu rumah kediaman ketika dia meninggal dunia, seperti rumah yang dimilikinya, atau suami masih mempunyai hak atas manfaat rumah yang disewa, atau yang dipinjamkan atau diwasiatkan kepadanya, dan rumah tersebut layak dan boleh didiami oleh isteri, maka hendaklah isteri tetap tinggal di rumah tersebut sehingga berakhir tempoh ‘iddahnya.

    Dari itu, isteri tidak boleh keluar atau berpindah daripada rumah kediaman tersebut dengan keputusannya sendiri ataupun dengan bermuafakat atau membuat persetujuan yang membolehkan isteri berpindah dari rumah tersebut.

    Begitu juga, ahli waris suami atau selainnya tidak boleh mengeluarkan isteri yang sedang berihdad (berkabung) dari rumah tersebut melainkan kerana suatu keuzuran atau sebab. Firman Allah Ta‘ala dalam perkara ini yang tafsirnya:

    “Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah tempat kediaman mereka dan janganlah pula mereka keluar (sehingga selesai ‘iddah mereka) kecuali jika mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan demikianlah hukum-hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya).

    “Dan sesiapa yang melanggar hukum-hukum Allah itu maka sesungguhnya dia telah menganiaya dirinya sendiri. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan sesudah itu sesuatu perkara (yang lain).”

    (Surah at-Thalaq: 1)

    Sekiranya semasa berlaku perpisahan disebabkan kematian suami, isteri sedang berada di suatu tempat atau rumah kediaman yang suaminya tidak memberi keizinan kepada isteri untuk berada di situ, umpamanya isteri telah berpindah daripada rumahnya yang pertama ke rumah yang kedua sedangkan suami tidak memberi keizinan kepada isteri untuk tinggal di rumah kedua itu, maka hendaklah isteri kembali semula ke rumah yang pertama tadi untuk ber‘iddah dan berkabung di rumah yang pertama. Malahan dihukumkan isteri sebagai derhaka sekiranya tetap berada di rumah yang kedua.

    Sebaliknya, sekiranya perpindahan isteri ke rumah yang kedua itu telah mendapat keizinan daripada suami, lalu setelah itu berlaku perpisahan (kematian suami), maka isteri tersebut wajib ber‘iddah dan berkabung di rumah yang kedua, sekalipun rumah tersebut adalah lebih jauh berbanding rumah yang pertama.

    Isteri yang sedang ber‘iddah kematian suami adalah dibolehkan untuk keluar pada siang hari dan juga pada malam hari kerana hajat untuk memenuhi keperluan seharian bagi dirinya dan juga anak-anaknya, lebih-lebih lagi jika tiada sesiapa yang boleh memedulikan dan melaksanakan perkara ini bagi si isteri, dengan syarat-syarat tertentu dan mengikut adat kebiasaan.

    Demikian juga, harus dia keluar daripada rumah ke rumah jiran yang berdekatan untuk berbual-bual dan seumpamanya mengikut kadar adat atau kebiasaan.

    Bagaimanapun isteri dilarang untuk keluar daripada rumah kediaman dan meninggalkannya terus, umpamanya dia keluar dan tidak kembali semula pada waktu malam, melainkan dengan sebab-sebab tertentu.

    Begitu juga, dilarang ke atasnya untuk tinggal di tempat lain seperti bermalam di rumah jiran perempuan, kerana perbuatan ini merupakan dosa besar.

    Selain daripada itu, dalam keadaan dharurat, umpamanya dikhuatiri atau ditakuti atas diri isteri tersebut, atau ke atas anaknya atau ke atas harta, sekalipun harta tersebut adalah milik orang lain yang diamanahkan kepada isteri, akan berlaku kebinasaan, seperti keruntuhan, ditenggelami air atau pencuri atau ditakuti terjadi syak atau tohmah atas diri isteri itu sekiranya dia berterusan tinggal di dalam rumah tersebut, maka adalah harus bagi isteri untuk berpindah daripada rumah kediaman tersebut disebabkan keadaan dharurat.

    Bahkan diwajibkan isteri berpindah ke tempat lain jika diyakini terjadi fitnah, umpamanya ke atas kehormatan isteri.

    Demikian juga, dalam keadaan isteri tidak boleh tetap atau tidak boleh berterusan tinggal di rumah tersebut, seperti rumah yang terikat dengan gadaian dan telah pun dijual disebabkan hutang yang tidak boleh dilunaskan (dibayar), sedangkan pembeli rumah tersebut tidak redha untuk si isteri tinggal di dalamnya dengan harga sewa yang sebanding (mitsli), iaitu suatu kadar yang dibuat penilaiannya oleh pakar atau ahli. Dalam keadaan seperti ini, si isteri dibolehkan berpindah daripada rumah tersebut ke tempat lain.

    Menurut pendapat al-mu‘tamad, sekiranya isteri berpindah daripada rumah kediaman kepada rumah yang lain, maka wajib dia berpindah ke tempat yang paling dekat dengan rumah yang sedia ada pada masa ini dan ditegah dia berpindah kepada rumah yang lebih jauh dengan adanya rumah yang lebih dekat.

    Suami tidak meninggalkan atau mempunyai harta pusaka

    Dalam keadaan suami tidak meninggalkan sebarang harta pusaka, tidak wajib bagi isteri disediakan tempat tinggal.

    Bagaimanapun sekiranya ahli waris (pewaris) ataupun selain ahli waris bertabarru‘ atau bermurah hati menyediakan tempat tinggal, maka isteri yang ber‘iddah wajib menerimanya (tawaran tabarru‘). Ini kerana tujuan ahli waris bertabarru‘ dalam bentuk tempat tinggal adalah untuk menjaga benih suami yang meninggal dunia jika terjadi kehamilan.

    Sekiranya tiada harta pusaka dan tiada sesiapa yang bertabarru‘ menawarkan tempat tinggal, maka isteri tersebut boleh tinggal di mana sahaja mengikut kehendaknya.

    Bagaimanapun adalah sunat bagi sultan, qadhi atau imam memberikan isteri tersebut dan memperuntukkan tempat tinggal daripada Baitul Mal, kerana menjaganya daripada tohmahan (dicurigai).

    Mengabaikan dan meninggalkan berkabung (Ihdad)

    Seorang isteri yang mukallaf, sempurna (kamilah) dan mengetahui hukum kewajipan berihdad (berkabung), mengabaikan dan meninggalkan berkabung yang telah diwajibkan dan ditetapkan oleh syara‘ ke atasnya, sama ada mengabaikan keseluruhan tempoh berkabung (tidak menjalani ihdad) atau sebahagiannya, umpamanya isteri meninggalkan rumah kediaman yang wajib didiaminya tanpa sebarang keuzuran, telah melakukan dosa besar dan dihukumkan berdosa. Sungguhpun demikian, tempoh berkabung bagi isteri yang meninggalkan atau mengabaikan perintah berkabung tetap akan tamat atau berakhir mengikut tempoh yang ditetapkan, dan dia berdosa disebabkan mengabaikan perintah berkabung.

    Isteri yang kurang sempurna (naqishah) seperti isteri yang masih kecil dan yang kurang sempurna akalnya (gila), wali adalah diwajibkan untuk memastikan isteri tersebut berkabung serta dihukumkan walinya berdosa jika isteri tersebut mengabaikan berkabung sedangkan wali tidak menegahnya.

    Dalam situasi yang lain, sekiranya isteri meninggalkan berkabung dengan tidak disenghajakan, seperti isteri yang tidak mengetahui mengenai kematian suami dan khabar mengenainya hanya sampai kepada isteri ketika telah berlalu tempoh berkabungnya tanpa si isteri berkabung, iaitu setelah berlalu empat bulan sepuluh hari daripada hari kematian suaminya, maka tempoh berkabungnya telahpun tamat dan berakhir tanpa perlu memulakan yang baru atau menggantikannya.

    Kesimpulannya, menurut fuqaha’, seorang isteri yang kematian suami wajib diperuntukkan baginya tempat tinggal sepanjang tempoh ‘iddah dan berkabung (ihdad) berdasarkan hadits shahih. Ini kerana penyediaan tempat tinggal adalah ketentuan (haq) Allah Ta‘ala.

    Sekiranya semasa berlakunya perpisahan antara isteri dengan suaminya, yakni semasa kematian suami, isteri tinggal di rumah milik suaminya, maka hendaklah isteri tetap atau berterusan tinggal di rumah tersebut sepanjang dalam tempoh ‘iddahnya dan tempoh berkabung. Oleh itu, isteri tidak boleh berpindah daripada rumah tersebut, sama ada dengan keputusan atau kehendaknya sendiri ataupun dia dipindahkan keluar oleh ahli waris ataupun dengan persetujuan terdahulu antara isteri dan suami atau ahli waris atau selainnya, melainkan atas sebab-sebab tertentu yang digariskan oleh syara‘.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda