Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 30 NOV – Sebagai sebahagian daripada Hari Terbuka Keselamatan Jalan Raya Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), belia dan pelajar dari seluruh Daerah Belait mempamerkan karya seni berwarna-warni keselamatan jalan raya yang dilukis oleh mereka di atrium utama Pusat Beli-belah KB Sentral, hari ini.
Acara itu diadakan bersempena dengan Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad yang disambut oleh Ketua Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) dan Sekuriti di BSP, Osmera Othman.
Dalam ucapan alu-aluannya, Osmera Othman berkata acara sedemikian bukan sahaja berfungsi sebagai peringatan terhadap nyawa yang terkorban tetapi juga untuk mengambil iktibar daripada pengajaran serta bertindak bagi mencegah kematian dan kecederaan lalu lintas daripada terus berlaku.
“Hari Terbuka Keselamatan Jalan Raya BSP bertujuan untuk menyokong inisiatif ini. Dengan kerjasama antara Syarikat-syarikat Usaha Sama Brunei Shell (BSJV), pihak berkepentingan kerajaan serta rakan-rakan perniagaan, kami ingin mendidik tentang amalan jalan raya yang selamat,” jelas beliau.
Memandu merupakan salah satu aktiviti paling berbahaya, dengan lebih daripada 50 juta nyawa terkorban dan ratusan juta cedera sepanjang abad yang lalu di seluruh dunia.
“Terdapat lebih daripada 170 kematian jalan raya di Brunei sejak 10 tahun lalu, termasuk sekurang-kurangnya lima pada tahun ini. Ini berfungsi sebagai satu peringatan bahawa kita mesti melakukan lebih banyak lagi untuk keselamatan jalan raya, sebagai pengguna jalan raya dan sebagai masyarakat,” kata Osmera.
Acara diteruskan dengan penyampaian hadiah bagi pelbagai karya seni yang dilukis oleh belia dan pelajar di seluruh daerah sebagai sebahagian daripada pertandingan anjuran Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR).
Selain itu, para peserta juga mengambil bahagian dalam pameran, permainan dan aktiviti yang menonjolkan pelbagai faktor berkaitan keselamatan jalan raya.