Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Djokovic tersingkir Terbuka Rom

    ROM, 13 MEI – Novak Djokovic, juara Grand Slam sebanyak 24 kali, telah tersingkir daripada Terbuka Rom pada pusingan ketiga kelmarin, dalam kekalahan mengejutkan 6-2, 6-3 kepada Alejandro Tabilo.

    Usaha Djokovic untuk melanjutkan gelaran Masters 1000 ke-41 berakhir dalam masa lebih satu jam oleh pemain Chile, Tabilo, yang berada di tangga ke-32 dunia tetapi menunjukkan prestasi yang me-ngagumkan dan meraih kemenangan pertamanya ke atas lawan 10 teratas itu.

    Pemain berusia 36 tahun itu tersingkir dua hari selepas secara tidak sengaja terkena balingan botol di kepala selepas kemenangan mudah dalam pusingan kedua menentang Corentin Moutet.

    Dan prestasi suramnya di gelanggang di mana dia telah memenangi enam kejuaraan menunjukkan dia mungkin masih mengalami tamparan itu, walaupun dia sempat bergurau dengan memakai topi keledar basikal semasa latihan pada Sabtu.

    Penyingkiran awal Djokovic merupakan tamparan buat kejohanan utama terakhir sebelum Roland Garros akhir bulan ini, yang bermula tanpa pemain nombor dua dunia Itali, Jannik Sinner dan pemain ranking ketiga, Carlos Alcaraz.

    Peminat tuan rumah juga kehilangan peluang untuk menyokong finalis Wimbledon, Matteo Berrettini dan Lorenzo Musetti, manakala saingan hebat Djokovic di gelanggang tanah liat, Nadal, yang menjadi pilihan ramai, disingkirkan pada pusingan kedua pada Sabtu oleh pilihan ketujuh, Hubert Hurkacz.

    Namun Tabilo adalah pemenang yang layak selepas berjaya menundukkan lawannya yang terkenal itu, mendahului 4-0 dalam set pertama dalam masa kurang 20 minit, mematahkan servis Djokovic dua kali dan mengejutkan pemain Serbia itu dengan beberapa siri kemenangan yang mengagumkan.

    Pemain Chile itu merampas set pembukaan dalam masa setengah jam, meninggalkan peminat terpegun menyaksikan prestasi Djokovic yang hambar.

    Dia pantas mematahkan servis Djokovic buat kali ketiga dalam permainan pembukaan set kedua dan seterusnya meraih kemenangan terbesar dalam kariernya dengan gaya yang sungguh luar biasa. – AFP

    Aksi Djokovic semasa kejohanan tersebut di Foro Italico di Rom. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda