Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – DPMM FC meneruskan misi memburu kejuaraan Liga Super Brunei (BSL) 2024/2025 selepas menumpaskan Jerudong FC dengan kemenangan 5-0 pada perlawanan yang berlangsung di Balapan dan Padang Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.
Berangkat menyaksikan perlawanan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.
Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda `Abdul Muntaqim menjadi tonggak penting dalam pasukan dan bertindak sebagai kapten DPMM FC.
Selain itu, pemain lagenda DPMM FC, Muhammad Shahrazen Said, turut kembali ke pasukan tersebut selepas berkhidmat dengan Kasuka FC.
DPMM FC mengalami kekecewaan pada separuh masa pertama apabila pasukan lawan tidak mudah untuk memberikan peluang kepada pasukan tersebut menjaringkan gol namun akhirnya berjaya memecah kebuntuan.
Gabungan pemain import DPMM FC iaitu Luis Matias Hernandez-Miruena telah melakukan hantaran silang kepada Sergio Mendiguchia Iglesias untuk membuat tandukan, akan tetapi percubaan itu tidak mencukupi untuk mengucar-ngacirkan penjaga gol Jerudong FC, Romaino Maripa.
Bagaimanapun, gawang Jerudong FC akhirnya berjaya dibolosi apabila Luis Matias Hernandez-Miruena menanduk masuk bola pada minit ke-39.
Muhamad Al-Kholil @ Muhamad Hisammuddin Sapawi/Hamdan menggandakan jaringan pada minit ke-49 sebelum Sergio meneruskan rentak jaringan pada minit ke-62.
Muhammad Akmal Rizal Muhammad Abu Bakar menambah gol keempat pada minit ke-74 sebelum Luis Matias Hernandez-Miruena menambah kedukaan Jerudong FC dengan gol keduanya dalam permainan enam minit kemudian.