Saturday, October 5, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU kenakan tarif ke atas kereta elektrik China

    BRUSSELS, 5 JULAI – Kesatuan Eropah (EU) kelmarin mengenakan duti sementara tambahan sehingga 38 peratus ke atas import kereta elektrik (EV) China disebabkan subsidi negara yang ‘tidak adil’, walaupun amaran dari Beijing mengatakan langkah itu akan mencetuskan perang perniagaan.

    Siasatan Suruhanjaya Eropah yang dilancarkan tahun lalu mendapati bahawa subsidi negara untuk pengeluar EV China telah menjejaskan pesaing Eropah dengan tidak adil – yang ingin dilindungi oleh Brussels ketika mereka beralih daripada tenaga termal kepada elektrik.

    Dewan Perniagaan China mengecam tarif tersebut, yang dikenakan sebagai tambahan kepada duti import semasa sebanyak 10 peratus, sebagai ‘bermotifkan politik’ dan ‘bersifat pelindung’, sambil menyuarakan harapan bahawa pertikaian itu masih boleh diselesaikan melalui dialog.

    Eropah sendiri berpecah mengenai langkah itu, dengan Jerman dan syarikat kereta tempatan mereka, yang menjalankan perdagangan besar dengan China, bimbang ia akan membawa lebih banyak keburukan sekiranya ia membawa kepada sekatan ke atas eksport EU seperti yang telah diancam oleh Beijing.

    Gergasi keretaJerman, Volkswagen, mengecam langkah itu sebagai ‘teruk’ manakala ketua BMW berkata perang tarif itu ‘membawa kepada jalan buntu’.

    Perancis dan Itali telah mendesak tarif dikenakan ke atas EV China – dengan bahagian pasaran mereka di EU telah melonjak, tetapi Sweden telah menyuarakan kebimbangan, manakala Hungary secara terang-terangan menentang.

    Tarif sementara itu akan bermula hari ini, dengan duti tetap berkuat kuasa pada November untuk tempoh lima tahun, tertakluk kepada undian 27 negara anggota EU. – AFP

    Gambar menunjukkan EV BYD untuk dieksport menunggu untuk dimuatkan ke sebuah kapal di pelabuhan di Yantai, di timur China pada 18 April lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda