Saturday, September 21, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU umum AS$11 bilion untuk negara Eropah terjejas banjir

    WROCLAW, 20 SEPT – Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen kelmarin mengumumkan dana sebanyak 10 bilion euro (AS$11 bilion) untuk negara-negara anggota yang terjejas oleh banjir yang disebabkan oleh Ribut Boris.

    Jumlah kematian akibat ribut yang melanda kawasan Eropah tengah dan timur minggu lalu meningkat kepada 24 pada Rabu, dan beberapa kawasan masih berdepan ancaman daripada paras air yang meningkat.

    Von der Leyen bercakap di bandar Wroclaw, Poland, bersama pemimpin dari empat negara di kawasan yang terjejas banjir.

    “Saya berasa sedih melihat kemusnahan akibat banjir tersebut,” katanya kepada wartawan.

    “Tetapi saya juga harus mengatakan bahawa, di sebalik itu, saya gembira melihat solidariti yang besar antara rakyat di negara-negara awda,” tambahnya.

    Von der Leyen menyatakan bahawa Kesatuan Eropah (EU) mempunyai dua sumber – dana perpaduan dan dana solidariti – yang boleh digunakan untuk ‘membantu dengan pembiayaan bagi membaiki dan membina semula’ kerosakan tersebut.

    “Pada pandangan pertama, 10 bilion euro mungkin dapat dikeluarkan dari dana perpaduan untuk negara-negara yang terjejas. Ini adalah respons kecemasan sekarang,” tambahnya.

    Angin kuat dan hujan lebat melanda kawasan itu minggu lalu, membunuh lima orang di Austria, tujuh di Poland, tujuh di Romania dan lima di Republik Czech. – AFP

    Perdana Menteri Republik Czech, Petr Fiala (kiri) bercakap sementara Ursula von der Leyen mendengar ketika sidang akhbar selepas pertemuan mereka di Wroclaw pada 19 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda