SOFIA – Pengeluar kereta China, GWM, Dongfeng dan Geely mencuri tumpuan di Pameran Motor Sofia ke-26, dengan mempamerkan model elektrik dan hibrid baharu dalam persaingan sengit lebih 30 jenama global.
GWM, jenama yang dikenali di Bulgaria, memperkenalkan model EV ORA 07 kepada pengguna tempatan, bersama model ORA 03 dan hibrid WEY 05. Sejak 2011, GWM telah membina kepercayaan dalam kalangan pengguna Bulgaria.
Menurut pengarah komersial Bulgarian Automotive Industry EAD, Todor Stoykov, keraguan awal terhadap kereta buatan China kini semakin berkurangan.
Stoykov menyatakan bahawa kemajuan GWM dan perkembangan industri automotif China telah meningkatkan keyakinan pengguna.
“Kereta GWM semakin diterima oleh pengguna di Bulgaria,” katanya, menekankan bahawa perubahan ini adalah hasil usaha jangka panjang serta kemajuan teknologi.
Pengunjung, Georgi Petrov, 42, kagum dengan perkembangan model EV dan hibrid GWM, terutamanya dari segi jarak perjalanan dan reka bentuknya.
“Masa depan adalah milik EV China,” kata Petrov selepas mencuba pandu ORA 03.
Salah seorang pengunjung, Irina, 35, turut memuji reka bentuk dan keselesaan kereta China. “Kereta yang sangat berkuasa, dengan reka bentuk unik,” katanya.
Dia mendapati ORA 03 sesuai sebagai kereta bandar dengan keselesaan tambahan pada tempat duduk belakang.
Dongfeng, yang memasuki pasaran Bulgaria sejak 2022, dan Geely, pendatang baharu, mempamerkan model mereka bersebelahan. Tsvetan Filev, seorang pengunjung, mengagumi kualiti binaan SUV hibrid Dongfeng. “Saya rasa kualitinya baik juga,” katanya.
Pengunjung lain, Ventsi Dimitrov, 55, kagum dengan kualiti dan harga Dongfeng.
Sebagai pemandu Mercedes, beliau mendapati Dongfeng sebagai alternatif yang menarik.
“Harga adalah penentu. Ia sempurna,” katanya.
Lyubomir Georgiev, 45, memuji kualiti dalaman dan reka bentuk Geely. Walaupun tidak pasti mengenai ketahanan jangka panjang, beliau tertarik dengan harganya. “Bahagian dalamnya kelihatan menarik dan selesa,” tambahnya.
Stoykov turut menekankan sistem bantuan pemanduan dan keselamatan canggih GWM yang merangkumi pemproses berprestasi tinggi dan teknologi bateri inovatif.
Walaupun harga tidak selalu lebih murah, beliau percaya GWM menawarkan nilai yang sangat baik.
Beliau juga mengakui bahawa kenaikan tarif Kesatuan Eropah terhadap EV dari China mungkin mempengaruhi harga kereta tersebut. Ini mungkin memperlahankan minat awal, katanya.
Namun, beliau yakin bahawa mereka yang mencari sistem canggih dan jarak perjalanan tinggi akan tetap tertarik kepada kenderaan ini. – Xinhua