Friday, May 17, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    FIFA lulus penggunaan VAR di Liga Malaysia

    KUALA LUMPUR, 2 MEI – Penggunaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula musim 2024/2025 sudah mendapat pengiktirafan dan kelulusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) secara rasmi pada Isnin lepas.

    Perkembangan itu disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram sambil menyifatkan ia merupakan satu kebanggaan kepada Malaysia kerana muncul antara 68 negara mendapat pengiktirafan dan kelulusan FIFA untuk menggunakan VAR.

    Beliau berkata kelulusan itu diberikan selepas delegasi FIFA Bhaveshan Moorghan dan tenaga pengajar VAR FIFA Igor Rodajcic melakukan proses penilaian dan ujian terhadap tahap kemahiran pengadil dan keberkesanan teknologi VAR di Malaysia, bulan lepas.

    “Bhaveshan melalui laporannya telah memuji tahap persiapan dan keberadaan tahap kemahiran yang ada pada pengadil-pengadil VAR di negara.

    “Ini sekali gus membawa kepada kelulusan FIFA untuk penggunaan teknologi VAR dalam saingan Liga-M 2024/2025 yang akan bermula 10 Mei ini,” katanya dalam kenyataan FAM hari ini.

    Langkah pelaksanaan VAR di Malaysia telah dimulakan pada April tahun lepas dengan lawatan delegasi dari FIFA untuk memberi taklimat mengenai protokol VAR dan prosedur pelaksanaannya.

    Seterusnya, FAM telah memulakan latihan pengadil VAR pada Jun 2023 hingga April lepas dengan melalui tiga fasa latihan sebelum FIFA akhirnya mentauliahkan 22 pengadil sebagai pengadil VAR, 20 penolong pengadil sebagai AVAR (Asisstant Video Assistant Referee) dan sembilan pengadil sebagai Replay Operator (RO). – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Adik perempuan Kim nafi Korea Utara telah membekalkan senjata kepada Rusia

    PYONGYANG, 17 MEI - Adik perempuan berpengaruh pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sekali lagi menafikan hari ini bahawa negaranya telah mengeksport sebarang senjata...