Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina ganti komander tentera di Laut China Selatan

    MANILA, 19 MEI – Tentera Filipina berkata kelmarin bahawa ia telah menggantikan seorang komander utama yang menyelia pasukan di Laut China Selatan, termasuk tentera Filipina yang ditugaskan di terumbu yang dipertikaikan.

    Laksamana Muda Alfonso Torres Jr akan menggantikan Naib Laksamana Alberto Carlos sebagai ketua di Pusat Kawalan Barat di pulau Palawan, yang merupakan daratan Filipina yang paling hampir dengan Kepulauan Spratly yang menjadi perebutan hangat.

    Tentera dalam satu kenyataan berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada ‘perubahan berterusan dalam kepimpinan dan jawatan penting dalam tentera yang diperlukan untuk institusi itu menyesuaikan diri dengan persekitaran keselamatan yang berkembang dan menangani cabaran yang muncul secara berkesan’.

    Ia berikutan beberapa siri insiden melibatkan kapal Filipina dan China dekat terumbu yang dipertikaikan di Laut China Selatan yang telah menjejaskan hubungan diplomatik.

    Itu termasuk serangan meriam air oleh kapal Pengawal Pantai China serta perlanggaran kecil dalam beberapa bulan kebelakangan ini yang dikatakan ia merosakkan bot Filipina dan mencederakan beberapa askar.

    Beijing menuntut sebahagian besar Laut China Selatan, termasuk Kepulauan Spratly, walaupun tribunal antarabangsa memutuskan bahawa dakwaannya tidak mempunyai asas undang-undang.

    Filipina, Vietnam, Malaysia dan Brunei mempunyai tuntutan bertindih ke atas bahagian laut. Pengumuman penggantian Carlos berikutan perbalahan diplomatik antara Manila dan Beijing berhubung dakwaan perjanjian yang dibuat oleh pegawai China dengan pemerintah Barat. – AFP

    Sebuah kapal Pengawal Pantai China bergerak melepasi bot nelayan Filipina semasa pengagihan bahan api dan makanan kepada nelayan di Laut China Selatan. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda