Friday, January 10, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gagal hadapkan penyata cukai, 13 syarikat tempatan didenda

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JAN – Antara bulan Julai sehingga Disember 2024, sebanyak 13 buah syarikat tempatan telah diarahkan untuk membayar denda di Mahkamah Majistret atas kegagalan mematuhi Seksyen 52(1) Akta Cukai Pendapatan (Penggal 35) iaitu gagal untuk menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tiap-tiap tahun kewangan.

    Menurut kenyataan Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, sebuah syarikat dikenakan denda sebanyak $6,000 kerana gagal untuk menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tahun-tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 hingga 2018.

    Sementara itu, sebuah syarikat dikenakan denda $5,000 bagi tahun-tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 hingga 2017 dan 2019; tiga buah syarikat dikenakan denda sebanyak $5,000 bagi tahun-tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 hingga 2019.

    Sebuah syarikat dikenakan denda sebanyak $4,000 bagi tahun-tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 hingga 2019.

    Manakala sebuah syarikat dikenakan denda sebanyak $4,000 bagi tahun-tahun Kewangan berakhir 31 Disember 2017 hingga 2020; dua buah syarikat dikenakan denda sebanyak $3,000 bagi tahun-tahun Kewangan berakhir 31 Disember 2017 hingga 2019.

    Selain itu, sebanyak tiga buah syarikat dikenakan denda sebanyak $2,000 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 dan 2019; dan sebuah syarikat dikenakan denda sebanyak $1,000 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

    Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan dan Ekonomi ingin memberi peringatan bahawa syarikat- syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat, Penggal 39 adalah dikehendaki untuk menghadapkan penyata cukai pendapatan masing-masing selewat-lewatnya pada 30 Jun bagi Tahun Taksiran yang berkenaan seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 52(1) dari Akta Cukai Pendapatan (Penggal 35).

    Jika sabit bersalah kerana gagal menghadapkannya, di samping dikehendaki untuk membayar denda yang dikenakan oleh mahkamah, syarikat terbabit juga dikehendaki untuk menghadapkan penyata cukai pendapatan yang tertunggak dan membayar cukai pendapatan yang tertunggak serta penalti yang dikenakan iaitu maksimum 17 peratus daripada jumlah cukai yang tertunggak, jika ada.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda