Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa bumi kuat gegarkan timur Indonesia

    JAKARTA, 22 NOV – Gempa bumi yang kuat dan dalam menggegarkan bahagian timur Indonesia pada hari ini tanpa laporan segera mengenai kematian atau kerosakan di kawasan itu.

    Gempa bumi berukuran 6.0 magnitud itu melanda kawasan 94 kilometer (58 batu) barat Tobelo di wilayah Maluku Utara Indonesia, pada kedalaman 116 kilometer (72 batu).

    Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia berkata tiada potensi bahaya tsunami tetapi memberi amaran tentang kemungkinan gegaran susulan.

    Indonesia, sebuah kepulauan yang luas dan kediaman lebih daripada 270 juta orang, sering dilanda gempa bumi dan letusan gunung berapi kerana lokasinya di atas apa yang dipanggil ‘Ring of Fire’, sebuah arka sesar seismik di sekitar Lembangan Pasifik.

    Gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter tahun lepas mengorbankan sekurang-kurangnya 331 orang dan mencederakan hampir 600 orang di bandar Cianjur, Jawa Barat.

    Ia adalah yang paling maut di Indonesia sejak gempa bumi dan tsunami 2018 di Sulawesi mengorbankan kira-kira 4,340 orang.

    Pada tahun 2004, gempa bumi Lautan Hindi yang sangat kuat mencetuskan tsunami yang mengorbankan lebih 230,000 orang di sedozen negara, kebanyakannya di wilayah Aceh, Indonesia. – AP

    – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda