Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa bumi Turkiye, Syria zahir kesedihan dan penderitaan

    ANTAKYA, TURKIYE – Gempa bumi yang mengorbankan lebih 39,000 orang di selatan Turkiye dan utara Syria membawa lebih banyak kesedihan dan penderitaan bersama dengan penyelamatan dan rayuan bantuan yang luar biasa.

    Berikut adalah perkembangan penting kelmarin selepas gempa bumi; Berpantang maut selepas sembilan hari

    Seorang wanita dan dua anaknya telah dikeluarkan dari pangsapuri yang runtuh di Antakya, Turkiye, 228 jam penuh selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud pertama melanda awal pagi 6 Februari lalu. Ketiga-tiga mereka dibawa ke sebuah hospital.

    Penyelamat Mehmet Eryilmaz berkata, wanita bernama Ela itu bertanya hari apa hari itu ketika dia ditarik dari serpihan.

    “Mula-mula, saya memegang tangan-nya,” Eryilmaz memberitahu agensi berita kerajaan Turkiye, Anadolu selepas sampai kepadanya di dalam runtuhan. “Kami berbual dan menenangkan (dia). Selepas itu, kami meneruskan kerja kami. Kami sangat gembira, ia adalah nyawa kelima yang kami selamatkan.”

    Eryilmaz, merupakan ahli pasukan yang dilatih untuk melakukan penyelamatan lombong, menambah: “Dia meminta air pada mulanya tetapi kami tidak memberikan apa-apa sebelum pasukan perubatan campur tangan. Dia bertanya ‘Awak, hari ini hari apa?’.

    Pasukan penyelamat menggali mangsa yang terselamat, di bandar Kahramanmaras, selatan Turkiye. – AP
    Seorang lelaki melihat jengkaut mengalihkan runtuhan dari bangunannya di bandar Kahramanmaras, selatan Turkiye. – AP
    Sebuah stadium yang digunakan sebagai kem perlindungan bagi mereka yang kehilangan rumah dalam gempa bumi yang dahsyat, di bandar Kahramanmaras, selatan Turkiye. – AP
    Seorang lelaki Turki dan isterinya berehat selepas mengutip barangan dari rumah mereka yang musnah di bandar Kahramanmaras, selatan Turki, Seorang lelaki Turki dan isterinya berehat selepas mengutip barangan dari rumah mereka yang musnah di bandar Kahramanmaras, selatan Turki. – AP
    Tentera British yang berkhidmat dengan Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Cyprus (UNFICYP) memuatkan sebuah trak dengan 105 kotak makanan, pakaian, air dan selimut yang disumbangkan oleh Cyprus Yunani. – AP

    Pekerja kesihatan, Ali Parlas, yang merawat Ela serta anak lelaki dan anak perempuannya, berkata ketiga-tiga mereka mengalami dehidrasi tetapi dalam keadaan agak stabil.

    Nama kanak-kanak itu ialah Meysam dan Ali, kata Eryilmaz.

    Penyelamatan itu adalah pengecualian kepada kerja suram mengesan mangsa gempa yang mati. Gempa bumi pertama dan gempa berukuran 7.5 magnitud sembilan jam kemudian memusnahkan beribu-ribu bangunan. Mereka yang terselamat dan pakar bangunan berkata pembinaan kurang bermutu menyumbang kepada jumlah kematian yang besar.

    Ankara mengucapkan syukur

    Menteri Luar Turkiye mengucapkan terima kasih kepada masyarakat antarabangsa kelmarin atas sokongan mereka selepas gempa bumi minggu lalu.

    Menteri Luar, Mevlut Cavusoglu berkata 76 negara menghantar pasukan mencari dan menyelamat untuk membantu kakitangan Turkiye menggeledah bangunan yang runtuh.

    Dua belas daripada pasukan asing telah pulang ke tanah air selepas menyelesaikan misi mereka, katanya.

    “Sudah tentu, semuanya tidak sempurna. Terdapat kekurangan dalam penyelarasan pada mulanya, tetapi dalam masa yang singkat, sistem itu diwujudkan,” kata Cavusoglu mengenai tindak balas kecemasan.

    Menteri itu berkata 36,000 khemah telah tiba di Turki dari luar negara untuk membantu melindungi puluhan ribu orang yang kehilangan tempat tinggal dan 51,000 lagi sedang dalam perjalanan bersama-sama dengan kontena perkapalan yang digunakan Qatar untuk menempatkan peminat bola sepak semasa kejohanan Piala Dunia tahun lepas.

    Cavusoglu berkata kerajaannya juga sedang berusaha untuk memastikan keperluan perumahan segera dipenuhi dengan pengeluaran khemah dan kontena tempatan yang akan digunakan untuk tempat perlindungan sementara.

    Bantuan juga datang daripada etnik Greek di Cyprus yang selama hampir setengah abad terperangkap dalam pertikaian dengan Turkiye.

    Askar British yang berkhidmat dengan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Cyprus membantu menghantar bantuan yang disumbangkan oleh Cyprus Greek di selatan negara pulau yang dibahagikan mengikut etnik itu ke utara Cyprus Turkiye yang terpisah.

    Dari situ, ia dijangka dibawa ke Turkiye untuk diagihkan kepada mangsa gempa bumi.

    Sekurang-kurangnya dua dozen pelajar Cyprus Turkiye yang mengambil bahagian dalam kejohanan bola tampar di bandar Adıyaman Turkiye maut dalam gempa bumi, manakala ramai lagi orang dari Cyprus masih hilang.

    Penderitaan di Syria

    Bersama-sama dengan lebih 35,000 orang terbunuh di Turkiye, hampir 3,700 kematian telah disahkan merentasi sempadan di Syria yang dicengkam perang, di mana gempa bumi melipatgandakan penderitaan penduduk yang telah mengalami perang saudara selama 12 tahun.

    Presiden Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah, Mirjana Spoljaric, berkata dalam satu kenyataan selepas melawat Syria bahawa “komuniti yang sudah sengsara akibat konflik bertahun-tahun kini sudah semakin terdesak.”

    Dia menekankan keperluan segera untuk air bersih.

    Ketika pasukan penyelamat dari seluruh dunia membantu di Turkiye, bantuan untuk Syria diperlahankan akibat jalan yang roboh dan ketegangan antara ka-wasan yang dikuasai pemberontak di negara itu dan kawasan yang dikawal oleh kerajaan Presiden Syria, Bashar As-sad.

    Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melancarkan rayuan AS$397 juta pada Selasa untuk memberikan bantuan kepada hampir 5 juta rakyat Syria untuk tiga bulan akan datang. Itu sehari selepas badan global itu mengumumkan perjanjian dengan Damsyik untuk menyampaikan bantuan PBB melalui dua lagi lintasan sempadan dari Turkiye ke kawasan yang dikuasai pemberontak di barat laut Syria.

    Keperluan di lapangan tetap mencabar, dengan cuaca yang sejuk menambah kesengsaraan. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda