Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guru, pelajar dirai dalam majlis Kelab Rotary

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Guru-guru dan pelajar-pelajar cemerlang serta pelajar-pelajar kurang bernasib baik telah diraikan dalam Majlis Penyampaian Anugerah Dermasiswa 2024 Kelab Rotary Bandar Seri Begawan (BSB) yang berlangsung di Rotary House, Persatuan Fu Zhou, kelmarin.

    Majlis berkenaan telah dihadiri oleh Presiden Kelab Rotary BSB, Daniel Thian, ahli-ahli Kelab Rotary BSB, keluarga para penerima anugerah serta pengetua sekolah-sekolah berkenaan.

    Pada majlis berkenaan, Daniel Thian dalam ucapannya mengetengahkan peranan penting pendidikan dalam memupuk kemakmuran dan kemajuan dengan menekankan komitmen kelab berkenaan dalam memastikan akses saksama kepada pendidikan berkualiti bagi semua pelajar.

    Beliau menyeru kepada para penerima anugerah untuk merebut peluang yang diberikan, meraih kecemerlangan akademik serta menabur bakti kembali kepada masyarakat menerusi kegiatan kesukarelaan.

    Di samping itu, beliau juga menggalakkan para penerima anugerah untuk mengambil bahagian dalam inisiatif dan acara Kelab Rotary bagi menekankan komitmen mereka kepada khidmat masyarakat.

    Daniel Thian bergambar ramai dengan para penerima biasiswa berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KELAB ROTARY BSB
    GAMBAR SERAHAN KELAB ROTARY BSB

    Daniel Thian turut menyatakan penghargaan kepada ibu bapa, guru-guru dan mentor-mentor atas sokongan berharga mereka dalam memupuk pemimpin generasi akan datang.

    Penerima-penerima Anugerah Guru Terbaik ialah Sim Man Ling dari Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan, Dayang Zurina binti Basri dari Sekolah St Andrew dan Gladys Hope Cabigan Balbin dari Sekolah St George.

    Para guru berkenaan telah dicalonkan oleh sekolah masing-masing bagi sumbangan dan komitmen mereka kepada kecemerlangan dalam pendidikan serta sokongan dalam komuniti sekolah mereka.

    Sementara itu, penerima-penerima Anugerah Pelajar Terbaik ialah Poh Ee Fong dari Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan, Chong Wen Jun dari Sekolah St Andrew dan Ayan Ahmed Zakai dari Sekolah St George. Sekolah-sekolah berkenaan mencalonkan para pelajar atas pencapaian akademik cemerlang mereka dan sokongan kepada pelajar-pelajar lain serta penyertaan dalam kegiatan luar.

    Sementara itu, seramai 12 orang pelajar daripada Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan, Sekolah St Andrew, Sekolah St George, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan Sekolah Seri Mulia Sarjana telah menerima dermasiswa bagi menyokong pengajian akademik mereka.

    Kelab Rotary BSB telah menganugerahkan sebanyak kira-kira $24,000 bagi menyokong pelajar-pelajar berkenaan dalam pembelajaran sekolah menengah mereka dan mengurangkan beban kewangan ke atas keluarga mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda