Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Hanya kerana udang galah, seorang suami dijatuhi hukuman penjara dua bulan atas dakwaan melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya.
Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu ke atas Abdul Hrwan bin Mohammad Jaya, 42, yang mengaku bersalah atas tuduhan mengacukan parang dan mengeluarkan kata-kata ancaman kepada isterinya ketika berada di rumah mereka di Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang, Daerah Tutong pada 20 Februari 2016.
Dia didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi Nuraza binti Pengiran Latiff mengikut Seksyen 506 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah hari apabila tertuduh yang tidak bekerja mendapati udang galah yang disimpan dalam peti sejuk sudah dimasak oleh isterinya. Tertuduh yang berhasrat untuk menjual udang galah itu terus naik berang.
Dia kemudian mengambil batang mop dan menghempasnya pada pintu dapur dan turut membaling kerusi kecil ke arah ruang tamu.
Tertuduh kemudian menuju ke keretanya dan mengambil parang sebelum mendapatkan semula isterinya.
Kedua-dua mereka bertengkar di hadapan anak perempuan mereka di mana tertuduh mengacukan parang ke leher isterinya dan mengeluarkan kata-kata ancaman.
Tertuduh kemudian menarik isterinya dengan mencekau perut isterinya dan tiba-tiba melepaskannya sebelum meninggalkan rumah itu. Isterinya kemudian membuat laporan kepada polis di mana tertuduh mengaku akan perbuatannya.
Polis bagaimanapun gagal untuk menemui parang yang digunakan tertuduh.