Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hizbullah lancar serangan roket terhadap Israel

    BEIRUT, 16 MEI – Kumpulan pejuang Hizbullah, Lubnan yang disokong Iran mengatakan bahawa mereka telah melancarkan lebih 60 roket di kedudukan tentera Israel sebagai tindak balas terhadap serangan udara semalaman di bahagian timur negara itu hari ini.

    Israel dan sekutu Hamas, Hizbullah, telah berbalas tembakan hampir setiap hari berikutan serangan kumpulan Palestin pada 7 Oktober ke atas selatan Israel yang mencetuskan perang di Gaza, kini memasuki bulan kelapan.

    Pejuang Hizbullah melancarkan serangan peluru berpandu dengan lebih 60 roket Katyusha ke atas beberapa kedudukan tentera Israel di Dataran Tinggi Golan, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

    Serangan itu adalah sebagai tindak balas terhadap serangan musuh Israel malam tadi ke atas wilayah Bekaa di kawasan Baalbek di timur Lubnan, tambah kumpulan itu.

    Media kerajaan Lubnan awal hari ini melaporkan serangan udara Israel semalaman di kawasan Baalbek, di mana Hizbullah menguasai, beberapa jam selepas kumpulan itu melancarkan serangan jauh ke dalam wilayah Israel.

    “Pinggir kawasan pergunungan timur Lubnan, pada tengah malam kelmarin, telah menjadi sasaran lima serbuan musuh,” kata agensi berita nasional (NNA) rasmi Lubnan.

    Serangan Israel itu mencederakan seorang warganegara dan menyebabkan kebakaran, tambah NNA.

    Sumber yang rapat dengan Hizbullah memberitahu AFP bahawa salah satu serangan itu mengenai kem pejuang Hizbullah.

    Jurucakap tentera Israel memberitahu AFP “Saya boleh mengesahkan bahawa serangan udara telah dilakukan di dalam Lubnan terhadap sasaran pengganas yang berkaitan dengan projek peluru berpandu Hizbullah”.

    Kawasan Baalbek di lembah Bekaa merupakan kubu Hizbullah, bersempadan dengan Syria. – AFP

    Wanita berjalan melepasi runtuhan bangunan yang musnah akibat pengeboman Israel selepas menghadiri pengebumian pejuang Hizbullah yang terbunuh dalam serangan Israel di kampung Meis al-Jabal di selatan Lubnan, pada 15 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda