Sambungan dari minggu lepas
Dakyah seumpama inilah yang boleh merosak pegangan umat Islam, bahkan lebih dahsyat lagi boleh menyebabkan wujudnya perbalahan antara sesama Islam kerana mempertahankan hujah dan pendapat masing-masing dalam menangani isu-isu berkaitan toleransi termasuk perkara ucapan tahniah ini.
Wajib bagi umat Islam mempertahankan akidah dan kesucian Islam. Penting bagi umat Islam menguatkan benteng akidah dengan tidak menghampiri sesuatu yang boleh menyebabkan kesudahannya membawa hati cenderung kepada perkara-perkara yang boleh merosak akidah tanpa disedari.
Larangan toleransi dalam perkara keagamaan ini mempunyai hikmah yang cukup besar bagi umat Islam.
Ia berkaitan dengan pemeliharaan akidah umat Islam sendiri.
Tidak mengucapkan tahniah atau selamat sempena perayaan orang-orang bukan Islam bukanlah jadi ukuran dalam menilai hubungan baik antara muslim dan orang bukan Islam.
Tuntutan dan ajaran Islam kepada umatnya untuk terus berbuat baik kepada orang bukan Islam sudah cukup untuk menjaga dan mengekalkan hubungan baik dengan orang bukan Islam.
Setiap hari bermuamalahlah dengan me-reka secara jujur dan ikhlas, berbuat baiklah kepada mereka, sama ada dengan perkataan dan perbuatan serta berlaku adillah kepada mereka dalam segenap perkara.
Hubungan masyarakat seumpama inilah yang lebih bermakna kepada mereka bagi menjaga keharmonian masyarakat di samping dapat kita mempamer akhlak Islam sebenar yang cinta keamanan dan perdamaian.
Tetapi dalam perkara yang menyangkut akidah wajib difahami dan dijaga.