Tuesday, October 29, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    IHP tahun-ke-tahun menurun 0.4 peratus

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan September 2024 menunjukkan penurunan sebanyak 0.4 peratus berbanding bulan September 2023.

    Ini adalah didorong oleh penurunan indeks makanan dan minuman ringan; dan indeks bukan makanan masing-masing sebanyak 0.4 peratus dan 0.5 peratus.

    Penurunan bagi indeks makanan dan minuman ringan adalah didorong oleh penurunan harga daging sebanyak 1.7 peratus, terutamanya harga makanan daging yang berproses; dan harga minyak dan lemak (6.4 peratus), terutamanya berikutan penurunan harga minyak masak.

    Sementara itu, penurunan indeks bukan makanan adalah disebabkan oleh penurunan harga perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api Lain sebanyak 1.3 peratus, khususnya kos penyelenggaraan dan pembaikan tempat kediaman.

    Selain itu, harga pengangkutan (0.7 peratus) juga turut menyumbang kepada penurunan indeks bukan makanan, terutamanya bagi harga kenderaan. Bagi perbandingan bulan-ke-bulan, IHP September 2024 menurun sebanyak 0.3 peratus daripada Ogos 2024, berikutan penurunan bagi indeks makanan dan minuman ringan; dan indeks bukan makanan masing-masing sebanyak 0.2 peratus dan 0.3 peratus.

    Penurunan bagi indeks makanan dan minuman ringan adalah terutamanya disumbangkan oleh sayur-sayuran (1.9 peratus) dan daging (0.3 peratus).

    Manakala penurunan indeks bukan makanan adalah terutamanya disumbangkan oleh harga pengangkutan (1.9 peratus); dan perumahan, air, elektrik, aas dan bahan api lain (0.3 peratus).

    IHP mengukur perubahan harga bakul barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.

    Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperoleh melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.

    Laporan penuh IHP bagi bulan September 2024 boleh didapati di laman sesawang JPES melalui https://deps.mofe.gov.bn.

    Rajah menunjukkan IHP bagi September 2024. – GAMBAR SERAHAN JPES
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda