Oleh Faris Yussof –
Ikan siakap atau lebih dikenali sebagai ikan selongsong di negara ini, merupakan antara ikan yang menjadi kegemaran ramai. Tidak kira apa jua masakannya pasti ikan ini akan menjadi pilihan sekiranya dihidangkan di atas meja.
Jika ditanya kepada penulis, jenis masakan apakah yang paling sedap untuk masak ikan siakap, pastinya masak tiga rasa ala Thai akan menjadi pilihan penulis. Dengan kombinasi rasa masam, manis dan pedas serta ditambah dengan aroma daripada serai membuatkan masakan ini bertambah sedap.
Apa kata kita mencuba masak menu ikan siapak tiga rasa ala Thai yang rasanya sama seperti ada di restoran.
BAHAN-BAHANNYA
Bahan-bahan utama untuk masak hidangan ini ialah ikan siakap yang siap dibersihkan dan dikelar. Sediakan juga satu sudu kecil garam, satu sudu kecil serbuk kunyit dan sedikit tepung jagung.
Manakala bahan-bahan untuk membuat sosnya ialah satu biji bawang merah yang dicincang halus, enam ulas bawang putih yang dicincang halus, dua batang serai yang dihiris nipis, halia sebesar ibu jari, satu cawan sos cili Thai, dua sudu sos tiram, dua sudu sos ikan, satu kecil gula, sedikit air jagung, lapan biji cili padi yang sudah ditumbuk, empat helai daun limau purut yang dihiris, tiga biji limau nipis dan daun ketumbar untuk hiasan.
CARA MEMASAK
Langkah pertama, lumurkan ikan siakap yang sudah dibersihkan itu dengan garam, serbuk kunyit dan tepung jagung dan perapkan seketika sebelum digoreng garing.
Apabila siap digoreng, letakkan ia di atas piring.
Kemudian, kita akan mula membuat sosnya. Caranya mudah sahaja iaitu tumis bawang merah, bawang putih bersama serai dan halia.
Selepas bahan-bahan tadi ditumis, masukkan sos cili Thai, sos tiram dan sos ikan dan gula.
Biarkan sos kita tadi mendidih sebelum masukkan sedikit tepung jagung agar ia pekat.
Selepas itu, padamkan api dan kemudian masukkan cili padi, daun limau purut dan perahkan limau nipis, dan tambahkan daun ketumbar. Jadi, siaplah sos kita.
Langkah terakhir, awda tuangkan sos itu tadi ke atas ikan goreng tadi dan ia siap untuk dihidangkan. Mudah bukan? Selamat mencuba!
Bahan-bahan:
• Bahan-bahan untuk ikan goreng
– 1 ekor ikan siakap/selongsong
– 1 sudu kecil garam
– 1 sudu kecil serbuk kunyit
– Tepung jagung
• Bahan untuk sos
– 1 biji bawang merah,
– 6 ulas bawang putih
– 2 batang serai
– Halia sebesar ibu jari
– 1 cawan sos cili Thai
– 2 sudu sos tiram
– 2 sudu sos ikan
– 1 kecil gula
– Sedikit air jagung
– 8 biji cili padi
– 4 helai daun limau purut
– 3 biji limau nipis
– Daun ketumbar